Dahlan Maamor
Daripada enam negeri yang mengadakan pilihan raya negeri pada 12 Ogos lalu, lima negeri telah menyaksikan pelantikan menteri besar masing-masing kecuali di Selangor.
Persoalan yang timbul, masih belum sahihkah tempoh khidmat Amirudin Shari akan disambung lima tahun mendatang?
Alasan yang dimainkan oleh seteru politiknya - kononnya Amirudin “budak” Azmin Ali. Sudah muak kita mendengar alasan ini kerana Amirudin sudah membuktikan kesetiaannya kepada kepimpinan PKR dan ini dibuktikan pada PRU15 lalu dengan menumbangkan pemimpin Bersatu itu di Parlimen Gombak.
Menang ke atas Azmin menjadikan Amirudin bersedia dalam kepayahan untuk membuktikan dia tidak sesekali bersekongkol dengan pengkhianat. Tidak cukupkah ini untuk membersihkan namanya?
Amirudin dan Azmin dulu sudah jauh berbeza dan kini masing-masing mempunyai pegangan yang “kiblat politik” mereka tidak sama.
Ini yang dilemparkan banyak pihak dalam kandang musuh politik yang mahukan pergolakan sesama PKR bagi membolehkan mereka menangguk di air keruh. Ada yang menyatakan, kalau tiada angin masakan pokok bergoyang.
Jika hujah dan tekaan ini terus termakan maka akhirnya Pakatan Harapan (PH) Selangor akan terperangkap dan waktu bekerja seperti yang dirangka oleh Amirudin akan terganggu.
Bermacam spekulasi dan dalil ditiupkan yang menyebut Amirudin akan digantikan dengan tokoh lain.
Ya, selagi upacara angkat sumpah jawatan belum dilaksanakan maka inilah antara kesukaan musuh politik untuk terus mengajak kita meneka bagi tujuan memecah belahkan muafakat dan janji yang sudah sedia terjalin.
Amirudin tidaklah terlalu “kemaruk” jawatan itu namun kesungguhan beliau mahu membawa Selangor terus cemerlang harus dinilai dan diakui.
Lembu dipegang pada talinya dan manusia dipegang pada lafaz dan janjinya. Kita tidak terfikir, kebiasaan ini akan dinodai.
Tanggal 19 Julai Anwar Ibrahim secara bersungguh dan jelas menyatakan Amirudin akan diangkat kembali sebagai menteri besar Selangor andai gabungan PH-BN memenangi pilihan raya negeri.
Maka sudah terjawab dan jelas malah tidak perlu dibahaskan lagi.
Jangan kita mengikut jejak langkah mana-mana parti lain - yang diangkat menjadi “poster boy” - adalah tokoh lain yang menjadi menteri besar. Soal janji dan kemahuan melantik kepala negeri bukan olok-olok atau satu jenaka untuk diketawakan.
Saya menjangkakan Amirudin kekal sebagai menteri besar Selangor untuk tempoh lima tahun mendatang dan tiada nama lain patut disebut. Soalnya selepas PRN sudah tiba masanya waktu bekerja dan tidak perlu berpolitik setiap masa dan ketika kerana ia akan menambah rasa bosan rakyat.
Tiada sebab Amirudin perlu diganti di saat kerajaan negeri perlu membetulkan mana yang silap dan menambah mana yang kurang.
Ini demi kepentingan rakyat Selangor seperti yang sudah dijanjikan sebelum ini. Amirudin sudah menyatakan petani dan nelayan perlu dibela. Imam dan tok siak wajib diberi perhatian. Wanita perlu dihargai dan mahasiswa perlu dibantu demi masa depan mereka.
Badai politik PRN 15 yang berakhir 12 Ogos lalu menjadikan Perikatan Nasional (PN) hampir menakluk negeri kubu kuat PH ini. Selangor cemas seketika namun majoriti masih berpihak kepada kerajaan PH untuk menubuhkan kerajaan negeri.
Walaupun dinafikan kemenangan dua pertiga majoriti namun kerajaan pimpinan Amirudin masih mampu bertahan. Dia yang dilihat akan terus menerajui Selangor biarpun bermacam macam andaian dan spekulasi dibuat harus diberi ruang untuk terus membangunkan Selangor.
Segala perancangan lima tahun mendatang sudah disiapkan dan ini akan memberikan faedah besar kepada rakyat Selangor.
Tidak ada sebab Amirudin perlu disekat dari meneruskan agenda pembangunan dalam usaha membela nasib rakyat serta kebajikan Selangor.
Presiden PKR, Anwar Ibrahim sudah “menunjuk” Amirudin sebagai peneraju Selangor jika PH kembali berkuasa. Ia berdasarkan kecemerlangannya sepanjang lima tahun menjadi menteri besar sebelum ini.
Meskipun memenangi sejumlah 22 kerusi DUN ia tidak menjanjikan sesuatu yang luar biasa kerana Adun PN hanya akan menimbulkan hiruk-pikuk dan gegak-gempita apabila sidang dewan DUN Selangor bermula nanti. Tidak lebih dari itu!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan