Omar Salleh
Selepas selesai pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini, keberadaan Jabatan Komunikasi Komuniti atau lebih dikenali sebagai J-Kom semakin menjadi perhatian.
Ia sebuah jabatan yang asalnya berada di bawah payung Kementerian Komunikasi dan Multimedia sebelum dipindahkan untuk dinaungi Jabatan Perdana Menteri (JPM) ketika era Ismail Sabri Yaakob menjadi perdana menteri.
Nama J-Kom mula naik semasa era Ismail Sabri sebelum 'populariti' entiti itu menjadi lebih meningkat di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Ia diperkatakan bukan saja oleh pihak lawan, malah kawan.
Kewujudan J-Kom (jika ia berfungsi dengan betul) sebenarnya mampu memberi manfaat yang besar kerajaan. Tetapi setakat lapan bulan pertama kerajaan Malaysia Madani terbentuk, kerja buat J-Kom belum memuaskan.
Dalam situasi yang ideal, J-Kom adalah sebuah agensi yang boleh menjadi jambatan bagi menghubungkan rakyat dengan kerajaan, khusunya JPM. Melalui J-Kom apa-apa keluhan yang berlaku di peringkat akar umbi dapat disalurkan kepada pihak yang berkenaan.
Natijah daripada proses tersebutlah sepatutnya membantu kerajaan - khususnya perdana menteri - mencari jalan bertindak secara tepat, serta sampai ke kumpulan sasaran.
Maka tidak adalah kita melihat sesuatu keputusan atau pengumuman yang popular tetapi hakikatnya bukan kehendak majoriti rakyat.
Dapat laporan lebih dulu
Sebagai contoh apabila kerajaan mengumumkan akan ada kenaikan gaji buat penjawat awam dan kakitangan swasta. Soalnya adakah itu kemahuan utama rakyat?
Jika fungsi J-Kom itu dimanfaatkan dengan betul maka bolehlah kerajaan merangka dasar atau keputusan yang tepat sebelum membuat sebarang pengumuman.
Pernahkah Putrajaya terfikir, di antara kenaikan gaji penjawat awam dengan penurunan harga barang yang dapat dirasa sendiri secara real (bukan sekadar angka dan data di atas kertas), yang mana satukah lebih diingini?
Adakah mungkin sebenarnya sebahagian besar rakyat tidak peduli pun tentang kenaikan gaji kerana apa mereka mahu ialah harga barang turun dan dilihat turun. Itu sahaja!
Begitu juga dengan kenaikan subsidi padi daripada RM360 kepada RM500. Yakinkah kerajaan bahawa memang itulah kehendak utama pesawah di Kedah atau negeri lain yang terlibat dengan industri padi?
Adakah kerajaan bertanya terlebih dulu kepada J-Kom untuk mendapatkan laporan atau sekurang-kurangnya input asas sebelum ia diuar-uarkan dengan penuh gah?
Kemungkinan besar Putrajaya sudah melakukan kesilapan jika ia dinilai kepada keputusan PRN di Kedah, khususnya.
Pun begitu beban tanggungjawan tidaklah patut dikumpulkan kepada J-Kom. Bukan J-Kom saja yang perlu melakukan kerja-kerja penyebaran maklumat kepada rakyat ini.
Tambahan pula J-Kom itu sendiri agak baru wujudnya.
Justeru ada satu lagi agensi yang perlu ditanyakan fungsi dan keberkesanan melakukan tugas bagi pihak kerajaan, iaitu Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) yang lebih berpengalaman.
Untuk berlaku adil, rakyat yang berasa rimas dengan percaturan kempen lawan yang berbaur fitnah, memainkan emosi serta menyentuh aspek agama, bangsa dan raja-raja tidak wajar menuding jari kepada J-Kom semata-mata.
Japen juga sepatutnya berperanan aktif menjelaskan dasar kerajaan agar dapat difahami dengan baik oleh semua pihak.
Bukan sekadar kata-kata
Muncul rasa waswas adakah setiap kakitangan Japen - termasuk di peringkat atasan - sedang berusaha melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada mereka?
Bagaimana jika sebenarnya ada antara mereka mengecam kerajaan - sama ada secara terbuka atau 'berlapik' di media sosial? Jika ia berlaku, sedarkan pihak yang berkenaan? Adakah teguran atau nasihat sudah diberikan?
Itu belum lagi jika kita memikirkan kemungkinan penjawat awam di jabatan atau kementerian lain yang menjadi duri dalam daging, sama ada kerana pegangan politik mereka atau hasil rasa tidak puas hati dengan dasar/keutamaan yang silap dari kerajaan.
Wajar dipertanyakan seberapa ramai kakitangan kerajaan yang berkenaan bersungguh-sungguh mengangkat agenda Malaysia Madani hingga ia sampai kepada rakyat?
Seperti yang dinyatakan di atas, keutamaan rakyat ialah melihat dan merasai sendiri kesan penurunan harga barangan keperluan, bukan sekadar propaganda yang dipaparkan di media.
Sudah tentu ia bukan salah mana-mana agensi secara mutlak, sebaliknya membabitkan keseluruhan agensi kerajaan. Tanpa menafikan sebahagian besar pegawai terbabit amanah menjalankan tugas, langkah berjaga-jaga perlu diambil agar matlamat yang diingini tercapai.
Justeru kita mungkin tidak boleh menuding jari kepada J-Kom semata-mata. Dan pada masa sama J-Kom juga tidak boleh berharap keadaan berubah dengan hanya leka bekerja melayan media sosial saja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan