Hidir Reduan Abdul Rashid
KES 1MDB | Bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz memberi keterangan di mahkamah bahawa bank pusat itu pada 2015 telah mengesyorkan agar Jabatan Peguam Negara (AGC) mendakwa bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan dua lagi bekas eksekutif syarikat pelaburan Malaysia itu.
Zeti yang menjadi saksi pendakwaan ke-46 itu berkata BNM juga mengesyorkan AGC supaya mendakwa bekas pengarah 1MDB Casey Tang dan Nik Faisal Ariff Kamil.
Zeti memberi keterangan semasa perbicaraan rasuah 1MDB bernilai RM2.28 bilion terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.
Sebelum ini, dia memberi keterangan walaupun BNM mengesyorkan beberapa individu berkaitan 1MDB untuk didakwa namun peguam negara ketika itu Mohamed Apandi Ali tidak berbuat demikian.
Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah, Zeti mendedahkan buat kali pertama siapa individu yang disyorkan BNM kepada AGC untuk pendakwaan.
Shafee: Saya agak gembira untuk ambil perhatian bahawa anda (sebagai gabenor BNM ketika itu) telah mengesyorkan beberapa individu untuk didakwa (berhubung insiden penyelewengan di 1MDB). Siapakah mereka?
Zeti: CEO (1MDB) Shahrol, Casey Tang, dan Nik Faisal, ini tiga orang.
Shafee: Anda mengesyorkan Nik Faisal berada dalam 1MDB dan dia ada peranan?
Zeti: Ya.
Shafee: Permintaan ini (oleh BNM) dibuat kepada AG (Apandi ketika itu)?
Zeti: Ya.
Shafee: Dia tidak menuduh orang ini?
Zeti: Tidak.
Shahrol (gambar, atas) sebelum ini memberi keterangan bagi pihak pendakwaan dalam kes rasuah 1MDB terhadap Najib.
Tang dan Nik Faisal kekal bebas dan masih dicari oleh pihak berkuasa Malaysia untuk membantu siasatan berhubung 1MDB.
Shafee juga menyoal jika Zeti semasa memegang jawatan gabenor BNM pernah menemui sebarang bukti salah laku Najib dalam kes 1MDB.
Saksi itu menjawab tertuduh berperanan mendapatkan kabinet mengeluarkan jaminan kerajaan untuk pembiayaan usaha sama 1MDB dengan Petrosaudi International Limited.
Bagaimanapun, ketika diasak peguam itu, Zeti berkata dia tidak tahu sama ada Najib sebenarnya terlibat dalam penyelewengan AS$700 juta daripada AS$1 bilion dana 1MDB yang dimaksudkan untuk usaha sama itu.
Dilaporkan AS$700 juta ini telah dialihkan kepada Good Star Limited, sebuah entiti luar pesisir yang diperbadankan di Seychelles dan didakwa berkaitan Low Taek Jho (Jho Low), yang kini diburu kerana memainkan peranan utama dalam skandal 1MDB.
Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bersambung petang ini serta esok, Khamis dan Jumaat minggu ini.
Najib yang juga bekas menteri kewangan menghadapi empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.28 bilion daripada 1MDB, syarikat pelaburan negara yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).
Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas ahli parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, tertuduh dikatakan melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan