FMT Reporters
Exco Kerajaan Pahang Johari Harun maut dalam nahas pesawat terhempas di Elmina hari ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Speaker DUN Pahang Sharkar Shamsudin mengesahkan exco negeri itu Johari Harun antara 10 yang maut dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie, berhampiran kawasan kediaman Elmina, hari ini.
“Berita yang menyedihkan, Johari Harun, exco kerajaan Pahang, Ketua Umno Bentong dan Adun Pelangai telah kembali ke rahmatullah.
“Terlibat dalam pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat,” katanya di Facebook.
Johari, 53, memegang portfolio kerajaan tempatan, perumahan, alam sekitar dan teknologi hijau.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan mengesahkan 10 terkorban dalam nahas membabitkan pesawat persendirian itu.
Mereka yang terkorban adalah juruterbang dan pembantunya, enam penumpang serta dua pengguna jalan raya yang dirempuh pesawat berkenaan ketika terhempas.
Pesawat milik Jet Valet Sdn itu berlepas dari Langkawi dan dilaporkan telah diberi kebenaran oleh menara kawalan untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Bagaimanapun, pesawat jenis Beechcraft Model 390 dengan nombor pendaftaran N28JV itu dilaporkan terhempas sebelum dijadualkan untuk mendarat.
Pesawat itu juga dilaporkan merempuh sebuah kereta dan sebuah motosikal, masing-masing direkodkan seorang setiap kenderaan.
Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan pesawat itu tidak membuat panggilan kecemasan atau “mayday”.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Norazman Mahmud berkata panggilan pertama dibuat pesawat itu dengan Menara Kawalan Udara Subang adalah pada 2.47 petang dan kebenaran mendarat diberikan satu minit kemudiannya.
“Bagaimanapun, pada 2.51 petang menara kawalan udara melihat kepulan asap dari lokasi terhempas dan tiada panggilan ‘mayday’ diterima daripada pesawat itu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan