Hariz Mohd & Geraldine Tong & Shakira Buang
Selepas mengalami kemerosotan besar dalam enam pilihan raya negeri, terdapat suara-suara tidak puas hati mula kedengaran dalam Umno.
Namun, jika berlaku perubahan dalam kepimpinan Umno ia mungkin akan menguntungkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Penganalisis politik Wong Chin Huat percaya sudah tiba masanya Anwar menjalinkan hubungan lebih erat dengan Umno- BN dan bukannya bergantung atas batang tubuh Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, 30 kerusi parlimen yang dimiliki Umno merupakan aset dalam kerajaan perpaduan pimpinan Anwar, namun Zahid sendiri sering menjadi sasaran pihak lawan dalam pilihan raya.
“Masalah pertama, PN dalam ceramah mereka sering menjadikan Zahid sebagai sasaran serangan, membangkitkan kemarahan golongan Melayu pertengahan dan akar umbi Umno yang merasa terasing.
"Adalah sesuatu yang strategik bagi perdana menteri mengukuhkan hubungan kerajaannya dengan Umno sebagai sebuah institusi dan bukannya pemimpin Umno secara individu," katanya kepada Malaysiakini.
Enam pilihan raya negeri pada Sabtu menyaksikan PH-BN mengalami kerugian besar walaupun berjaya mengekalkan penguasaan ke atas Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
Kedua-dua gabungan itu disapu bersih di Terengganu, dengan BN juga gagal memenangi sebarang kerusi di Kedah.
Ia merupakan prestasi memalukan BN sejak pilihan raya umum November tahun lalu yang menyaksikan gabungan parti politik tertua itu hanya memperoleh 30 kerusi daripada 222 kerusi parlimen.
Walaupun mencatatkan prestasi buruk, BN menyertai kerajaan persekutuan selepas Zahid berjaya meyakinkan gabungan itu untuk menyokong Anwar dan membantu mendapatkan jumlah yang mencukupi untuk membentuk kerajaan perpaduan.
Pun begitu Zahid yang berdepan 87 pertuduhan di mahkamah, termasuk kes rasuah melibatkan Yayasan Akalbudi, sering menjadi modal kempen bagi PN untuk menggambarkan PH-BN sebagai korup.
Wong, yang merupakan pensyarah di Universiti Sunway, berkata timbalan presiden Umno, Mohamad Hasan mungkin merupakan pilihan terbaik untuk meneruskan kelangsungan Umno dan PH.
"Jika Umno boleh merundingkan perjanjian agar Tok Mat menggantikan Zahid, itu adalah yang terbaik untuk kepentingan perdana menteri," tambahnya.
Berkongsi sentimen serupa ialah Khoo Ying Hooi dari Universiti Malaya, yang percaya bahawa sekiranya Zahid terus menerajui Umno, ia hanya akan merugikan parti itu dan juga Anwar.
Ini akhirnya akan memberi kesan kepada kerjasama PH-BN terutamanya dalam persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang, katanya.
“Sekiranya Zahid terus mengawal Umno, saya rasa akan ada banyak tekanan terhadap Anwar daripada sekutunya dalam PH, atau mereka pasti akan menunjukkan impak itu terhadap kerjasama mereka di peringkat persekutuan.
"Kita boleh menjangkakan kesulitan mengekalkan kerjasama ini dan dalam jangka masa panjang, mereka akan memikirkan bagaimana untuk menghadapi pilihan raya umum," kata Khoo kepada Malaysiakini.
Ini bukan kali pertama Zahid mendapat tekanan untuk melepaskan jawatan dalam Umno.
Zahid pernah menghadapi tekanan dari dalam parti itu selepas PRU15 pada November lalu, tetapi dia kemudian bukan sekadar berjaya mengembalikan semula cengkaman terhadap parti itu, malah menyingkirkan seteru politiknya dalam Umno.
Selepas PRN Sabtu lalu, sentimen serupa dihidupkan semula.
Mereka yang menyuarakan semula sentimen berkenaan termasuk ketua pemuda Umno, Dr Akmal Saleh yang mengatakan keazaman Umno untuk berubah perlu dilakukan jika mahu parti itu kekal relevan.
Ramai pemerhati politik menjangkakan Zahid tidak akan tunduk tunduk kepada desakan agar dia meletak jawatan, sebaliknya akan melawan sehabis mungkin terhadap sebarang usaha mencabar kedudukannya.
Khoo berkata, ini terutamanya kerana Zahid perlu memegang jawatan tertinggi berikutan kes rasuah yang dihadapinya.
“Pertelingkahan dalam Umno adalah sesuatu yag nyata dan kedudukan Zahid juga tidak sepenuhnya kuat.
“Tetapi kes rasuah itu akan membuatkan dia melakukan apa sahaja yang boleh,” katanya.
Penganalisis Oh Ei Sun juga berkongsi pandangan yang sama.
“Umno adalah parti yang mempunyai banyak puak pada satu-satu masa, dan sudah tentu sesetengah puak, termasuk mereka yang sehaluan dengan Hisham (bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein) dan sebagainya, akan mencari pelbagai alasan untuk mencabar Zahid.
"Tetapi akhirnya saya rasa Zahid masih mendapat banyak sokongan akar umbi dalam Umno," katanya.
Oh, yang merupakan felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, juga percaya Mohamad selaku timbalan Zahid tidak mempunyai keberanian untuk membuat sebarang tindakan terhadap presiden parti itu dalam masa terdekat kerana cengkamannya ke atas Umno.
"Bukan semudah itu untuk menjatuhkan Zahid. Dan Tok Mat, sebagai seorang yang agak berhati-hati, saya tidak fikir dia akan berbuat demikian. Sekurang-kurangnya tidak buat masa ini," tambahnya.
Sementara itu, Oh dan seorang lagi ahli akademik dari Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi berkata Zahid tidak seharusnya dipersalahkan atas prestasi buruk Umno dalam pilihan raya negeri.
Menurut Awang Azman, Umno perlu menjadikan keputusan itu sebagai tanggungjawab bersama.
Merujuk kekalahan berterusan Umno di negeri-negeri yang dikuasai PN seperti Kelantan dan Terengganu dan kemenangan yang dicatatkan di Negeri Sembilan, dia berkata kempen pilihan raya melibatkan usaha dari atas ke bawah.
“Pemimpin di peringkat cawangan termasuk Pemuda, Puteri dan Ketua Wanita Umno juga bertanggungjawab sama ada menang atau kalah.
"Jadi, ini perlu dilihat dari perspektif mekanisme yang menyeluruh," kata Awang Azman.
Bagi Oh, kemerosotan besar sokongan dalam pilihan raya itu juga dikaitkan dengan penolakan masyarakat Melayu arus perdana terhadap idea Madani yang dikemukakan Anwar.
Kumpulan ini, katanya, lebih selesa dengan PN dan PAS khususnya kerana ideologi mereka yang lebih konservatif manakala kerajaan perpaduan yang diketuai Anwar menangani isu yang timbul dengan memberi penekanan yang lebih kepada kebimbangan sosial ekonomi.
"Keputusan menunjukkan majoriti Melayu, atau Melayu arus perdana, lebih suka pandangan sosial politik yang lebih konservatif berorientasikan agama di negara ini, dan PAS menerimanya dan mereka memenangi banyak kerusi.
“Anwar dan kerajaan perpaduannya cuba mengatasi isu ini dengan menekankan kebimbangan sosial ekonomi dan sebagainya dengan dasar mereka.
“Jadi, keseluruhan idea Madani tidak menarik minat majoriti atau kelompok Melayu arus perdana,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan