Hidir Reduan Abdul Rashid
Najib Razak tidak pernah bertanya kepada Bank Negara Malaysia (BNM) berkenaan sumber wang RM2.6 bilion dalam akaunnya, menurut bekas gabenor Zeti Akhtar Aziz.
Zeti berkata demikian berhubung dakwaan Najib - yang disebutnya dalam wawancara bersama Malaysiakini pada 2018 - yang Zeti tahu berkenaan kemasukan wang tersebut dalam akaunnya pada 2013.
Dia berkata demikian ketika pemeriksaan utama dengan timbalan pendakwa raya Kamal Baharin Omar ketika perbicaraan kes rasuah 1MDB berjumlah RM2.28 bilion terhadap Najib, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Kamal: Adakah Najib membuat pertanyaan berkenaan sumber transaksi melibatkan empat akaunnya?
Zeti: Tidak.
Menurut Zeti, BNM hanya sedar akan transaksi itu pada 2013, yang mencetuskan siasatan yang membawa serbuan BNM terhadap AmBank pada pertengahan 2015.
Dia menjelaskan BNM bergantung kepada laporan transaksi mencurigakan (STR) dari bank komersial untuk memantau aliran keluar masuk transaksi meragukan ke dalam akaun bank.
Pada 2015, katanya lagi, BNM menyerbu AmBank bagi mengesahkan transaksi itu dan bank tersebut kemudian dikenakan denda.
Serbuan itu mendapati Najib menerima kira-kira RM3.2 bilion dalam akaunnya, katanya lagi.
(Namun, tidak jelas sama ada baki wang selain RM2.28 bilion yang masuk itu ada kaitan dengan 1MDB atau tidak).
Dia berkata bank itu tidak memaklumkan kepada BNM berhubung transaksi meragukan melibatkan akaun Najib.
Peguam Najib, Zeti bertembung
Sementara itu, suasana di mahkamah menjadi panas apabila ketua pasukan pembelaan, Muhammad Shafee Abdullah mula memeriksa balas Zeti.
Ketika Shafee membangkitkan kenyataan yang dikeluarkan SPRM pada Mac 2022 berkenaan siasatan terhadap suami zeti, Tawfiq Ayman berhubung transaksi berkaitan 1MDB di Singapura, bekas gabenor BNM itu berkata dia tidak tahu berkenaannya.
Ini kerana ia melibatkan syarikat pengurusan aset milik suaminya.
"Saya tidak pernah tahu yang ada inkuiri di Singapura, hanya tentang akaun itu bukan di bawah bidang kuasa Malaysia dan saya tidak tahu apa-apa tentangnya.
"(Singapura) memiliki standard integriti tertinggi. Saya ingin katakan yang tiada tindakan diambil terhadap mana-mana ahli keluarga saya berhubung salah laku dalam bidang kuasa mereka (Singapura)," balas Zeti.
Ketika Shafee terus bertanya Zeti jika dia tahu berkenaan kenyataan SPRM itu, Kamal membuat bantahan atas dasar ia bersamaan dengan serangan untuk menjejaskan kredibiliti saksi dan tiada kaitan dengan pertuduhan jenayah terhadap Najib.
Bagaimanapun Shafee berkata ia relevan dengan dokumentasi yang mendakwa keluarga Zeti ada menerima dana dari syarikat yang berkaitan dengan Low Taek Jho, atau Jho Low.
Sequerah kemudian membenarkan pemeriksaan balas diteruskan namun mengingatkan Shafee agar tidak melangkaui sempadan tertentu agar tidak dilihat menyerang saksi.
Pasukan pembelaan sebelum ini berhujah bahawa syarikat di Singapura yang dikaitkan dengan keluarga Zeti didakwa menerima wang 1MDB.
Ketika itu, Zeti berkata peguam Najib tiada akses kepada satu dokumen lain yang menyatakan suaminya membuat laporan kepada pihak berkuasa Singapura berkenaan transaksi meragukan berkaitan syarikat terlibat, selepas mendapati ada unsur meragukan.
Ketika Shafee mencabarnya untuk mengemukakan dokumen itu, Zeti berkata dia tidak boleh berbuat demikian sehinggalah pihak berkuasa di Malaysia melengkapkan siasatannya.
Zeti juga setuju dengan kenyataan Shafee bahawa pemahamannya berkenaan perkara itu bukan maklumat yang disahkan memandangkan dia hanya mendapat tahu daripada suaminya.
Perbicaraan bersambung esok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan