"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

2 calon wanita PKR cipta sejarah di Negeri Sembilan

Mohd Amin Jalil
bhnews@bh.com.my
Tengku Zamrah (kiri) dan Noorzunita Begum, yang mewakili PKR menang di kerusi DUN masing-masing di Ampangan dan Pilah pada Pilihan Raya Negeri, Sabtu lalu. - Foto ihsan pembaca
Tengku Zamrah (kiri) dan Noorzunita Begum, yang mewakili PKR menang di kerusi DUN masing-masing di Ampangan dan Pilah pada Pilihan Raya Negeri, Sabtu lalu. - Foto ihsan pembaca
SEREMBAN: Dua calon wanita PKR mencipta sejarah tersendiri apabila masing-masing memenangi kerusi yang ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan, Sabtu lalu.

Mereka adalah Noorzunita Begum Mohd Ibrahim yang menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah dan Tengku Zamrah Tengku Sulaiman yang menang di DUN Ampangan.

Pengarah Komunikasi Wanita PKR Pusat, Noraini Nordin, berkata kemenangan kedua-dua calon terbabit bersejarah kerana belum pernah wanita parti itu diangkat sebagai ADUN di Negeri Sembilan.

"Sebelum ini wanita PKR tidak pernah ada di DUN di Negeri Sembilan tapi kali ini mempunyai dua orang. Ia satu sejarah.

"Penampilan mereka sudah tentu dapat membawa suara wanita dalam sidang DUN akan datang.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Wanita PKR Negeri Sembilan yang meletakkan dua calon berkenaan dan berjaya mencapai kemenangan, suara wanita akan lebih kuat di DUN," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, Wanita PKR tetap mengucapkan tahniah kepada kesemua sembilan calon wanita yang bertanding dalam PRN berkenaan walaupun keputusan tujuh lagi calon tidak menyebelahi mereka.

"Semua sembilan calon itu wajar diucap tahniah kerana mampu berjuang dan melawan dengan cekal.

"Yang kalah jangan berputus asa kerana politik ini dinamik. Ada waktu kita boleh menang, ada waktu tidak. Tetapi semua itu dikira menang (setelah berjuang bersungguh-sungguh)," katanya.

Tengku Zamrah menang di DUN Ampangan dengan majoriti 329 undi melalui persaingan tiga penjuru selepas memperoleh 6,054 undi menewaskan Muhammad Ghazali Zainal Abidin dari Perikatan Nasional (PN-BERSATU) yang mendapat 5,725 undi.

Seorang lagi pesaingnya yang juga penyandang, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek (Bebas) hanya memperoleh 3,079 undi.

Noorzunita Begum pula berdepan persaingan satu lawan satu di DUN Pilah, menang dengan majoriti 1,079 undi selepas meraih 6,222 undi menewaskan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha (PN) yang mendapat 5,143 undi.

Sementara itu, wakil wanita di DUN Negeri Sembilan bertambah kepada empat orang berbanding satu sebelum ini apabila Nicole Tan Lee Koon (DAP) dan Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid (BN) masing-masing menang di kerusi ditandingi.

Nicole menang bergaya di kerusi DUN Bukit Kepayang dengan meraih majoriti 19,684 selepas mendapat 24,626 undi menewaskan P Subramaniam (PN-BERSATU) dengan 4,942 undi dan Ahmad Zamali Mohamad (Bebas), 921 undi.

Bibi Sharliza pula mengungguli di DUN Juasseh menewaskan Datuk Eddin Syazlee Shith (PN-BERSATU) selepas mendapat 4,549 undi manakala lawannya itu mendapat 4,471 undi dengan majoriti 78 undi.

Tiada ulasan: