Undi anggota keselamatan bukan lagi ‘simpanan tetap’ kerajaan
Dikatakan berlaku situasi undi awal dari beberapa kem tentera tidak memihak PH-BN.
FMT Reporters
PETALING JAYA: Undi tentera dan polis didakwa beralih kepada Perikatan Nasional (PN) antara faktor menyumbang kekalahan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) di beberapa kerusi pada PRN enam negeri semalam.
Menurut Utusan Malaysia yang memetik sumber, kira-kira 77% undi awal dari sebuah kem tentera yang diterima dari sebuah daerah di Terengganu memihak kepada PN.
Kata sumber itu, hanya 23% undi awal diperoleh PH dan BN.
“Hanya 23% undi awal masih diberi kepada kerajaan perpaduan gabungan PH dan BN.
“Selama ini, kem tentera atau kuarters polis sering dianggap kubu kuat kerajaan pemerintah sebagai kawasan ‘safe deposit’, malangnya situasi itu tidak berlaku di Terengganu,” katanya.
Umno yang menjadi satu-satunya parti dalam BN yang bertanding pada PRN kali ini mencatatkan prestasi buruk, termasuk kalah di semua kerusi di Terengganu.
Menurut sumber itu, undian di beberapa kem tentera lain juga menunjukkan trend sama di seluruh negara.
Umno juga gagal mempertahankan kerusi Gemas dan Bagan Pinang di Negeri Sembilan di mana kedua-dua DUN itu mempunyai kem tentera, apabila tewas pada calon PN.
“Malah, di saluran satu pun, undi lebih banyak diberi kepada PN. Ini adalah signal penting untuk kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mencari puncanya dan segera buat penambahbaikan.
“Pasti ada sebab peralihan undi pos ini begitu ketara berbeza berbanding apa yang diterima pada PRU-14 yang lalu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan