Bernama
KOTA BHARU: Sebanyak 1,514 kes demam denggi dicatatkan di Kelantan bermula Januari hingga 12 Ogos tahun ini, iaitu peningkatan 225% berbanding tempoh sama tahun lepas.
Pengarah Kesihatan Kelantan Dr Zaini Hussin berkata, dalam tempoh itu turut direkodkan dua kematian akibat demam denggi.
“Pada minggu epidemiologi lalu, kita merekodkan peningkatan dan saya jangkakan ia akan terus meningkat dengan keadaan cuaca hujan serta kemarau sekarang ini,” katanya.
“Bagaimanapun, jumlah kes denggi pada tahun ini lebih rendah berbanding jumlah sebelum wabak Covid-19, iaitu penurunan 50% berbanding kes denggi pada 2020 sebanyak 3,030 kes,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Jalur Gemilang Peringkat Wisma Persekutuan Kota Bharu.
Mengulas lanjut, Zaini berkata kes, denggi dijangka terus meningkat sekiranya langkah proaktif termasuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes tidak dilaksanakan.
Katanya, hal itu berdasarkan laporan 122 cetusan jangkitan dalam tempoh Januari hingga 12 Ogos lepas, berbanding 26 dalam tempoh sama tahun lepas.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 97 (cetusan jangkitan) telah tamat manakala 25 lagi masih aktif dan tiada (cetusan jangkitan) titik panas melebihi 30 hari berlaku di Kelantan.
“Setakat ini lokaliti titik panas yang dikenal pasti (termasuk) di Kota Bharu, Bachok dan Tumpat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, antara aktiviti kawalan dan pencegahan yang dilaksanakan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan menerusi kawalan vektor termasuk pemeriksaan premis, semburan kabus, penghapusan tempat pembiakan dan pendidikan kesihatan.
“Sehingga 12 Ogos lalu, sejumlah 371,269 premis telah diperiksa (untuk) tempat pembiakan Aedes,” katanya.
“(Sebanyak) 1,639 kompaun dengan nilai RM 819,500 dikeluarkan kepada pemilik premis yang dijumpai terdapat pembiakan aedes di premis mereka.”
Tambahnya, kompaun dikeluarkan mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Akta 154).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan