FMT Reporters
PETALING JAYA: Khabar angin bertiup kencang bahawa Amirudin Shari tidak akan dilantik sebagai menteri besar Selangor bagi penggal kedua selepas Pakatan Harapan (PH) gagal memperoleh majoriti dua pertiga pada PRN baru-baru ini.
Seorang pemimpin PKR yang enggan namanya disiarkan berkata, walaupun pengerusi PH Selangor itu, yang berjaya mempertahankan kerusi Sungai Tua, menunjukkan prestasi bagus sebagai menteri besar, beliau gagal mendapat sokongan pengundi Melayu.
Menurut sumber itu, nama Fahmi Ngah, yang dipilih sebagai Adun Seri Setia pada Sabtu, disebut-sebut akan menggantikan Amirudin.
“Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar tak tunjuk muka ketika banjir melanda negeri itu, tetapi beliau masih disokong pengundi,” kata sumber itu, merujuk kepada kunjungan Samsuri ke New Zealand pada Disember lepas. Samsuri kemudiannya memohon maaf atas ketiadaannya.
“Parti itu (PAS) menang 32-0 pada PRN, membuktikan hubungan Samsuri dengan pengundinya masih kukuh,” tambah sumber itu.
Sebaliknya bagi Amirudin, menurut sumber itu.
“Selangor negeri yang sangat kaya, tetapi pengagihan kekayaan tak merapatkan jurang antara yang miskin dengan yang kaya, malah makin lebar,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi sumber PKR mengesahkan terdapat ura-ura bahawa Amirudin mungkin tidak akan berkhidmat sebagai menteri besar bagi penggal kedua.
“Buat masa ini, Amirudin mendahului, tetapi keadaan boleh berubah kerana wujud kem-kem dalam PKR, sama seperti dalam setiap parti lain,” katanya.
Sumber itu tidak menolak kemungkinan calon untuk jawatan itu boleh ditukar pada saat akhir, seperti yang berlaku di Johor.
Berikutan PRN Johor tahun lepas, Hasni Mohammad digantikan oleh Onn Hafiz Ghazi, walaupun bekas menteri besar itu menjadi “poster boy” menjelang pilihan raya.
“Saya rasa kita hanya perlu tunggu dan lihat. Ingat, ini juga berlaku dalam PKR apabila Amirudin dilantik pada saat akhir sebagai menteri besar pada 2018,” kata sumber itu lagi.
Amirudin dilantik menjadi menteri besar, menggantikan Azmin Ali, ketika itu bersama PKR, yang dilantik menjadi menteri bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad.
Sumber itu bagaimanapun berkata, “agak biasa dalam politik” untuk seseorang itu digantikan.
FMT telah menghubungi pihak Amirudin untuk mendapatkan komen.
PH memenangi 32 kerusi pada PRN di Selangor Sabtu lepas, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh 22 kerusi. Barisan Nasional (BN), sekutu PH dalam kerajaan persekutuan, hanya menang dua kerusi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan