"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bicara tegang, Zeti minta bukti suaminya dapat wang 1MDB

Ahmad Johari Mohd Ali
ajohari@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, menuntut peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Datuk Seri Najib Razak, mengemukakan bukti berhubung dakwaan suami dan ahli keluarganya menerima wang daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam prosiding yang sedikit tegang hari ini, Muhammad Shafee memulakan sesi soal jawab dengan bertanya kepada Zeti sama ada BNM menerima maklumat daripada unit risikan Singapura mengenai beberapa transaksi tidak menyenangkan berkaitan keluarga Zeti.

Zeti menyatakan tidak mengetahui mengenai perkara itu dan menjelaskan suaminya memiliki syarikat pengurusan aset yang menerima wang daripada pelabur di luar negara.

Perbicaraan menjadi semakin panas apabila Muhammad Shafee mengemukakan akuan bersumpah (SD) suami Zeti iaitu Datuk Dr Tawfiq Ayman yang menyatakan beliau (Tawfiq) melucutkan haknya terhadap sejumlah wang dalam syarikat Cutting Edge Industries Ltd yang perlu dipulangkan kepada 1MDB.

Pada peringkat itu, Muhammad Shafee bertanya sama ada Zeti mengetahui suami dan anaknya menerima wang daripada 1MDB melalui syarikat Cutting Edge Industries Ltd yang mana Tawfiq adalah salah seorang pemiliknya.

Zeti menjawab tidak mempunyai pengetahuan mengenai akaun syarikat berkenaan atau wang dalam akaun serta siapa pelaburnya.

Muhammad Shafee: Takkan suami atau anak tidak pernah memberitahu mengenai wang?

Zeti: Tunjukkan saya buktinya. Tunjukkan kepada saya aliran keluar wang 1MDB dalam akaun syarikat itu.

Muhammad Shafee: Bila anda berkata ahli keluarga tidak pernah menerima wang 1MDB, awak sebenarnya membuat kenyataan tanpa mengetahui mengenai SD ini?

Zeti: Ini kali pertama saya melihat SD ini dan ia tidak menyatakan suami saya menerima wang (1MDB) tetapi ia berkaitan wang yang dipulangkan kepada pihak berkuasa.

Bagaimanapun, suasana tegang itu ditenangkan oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang menyatakan peguam bela boleh mengemukakan soalan tetapi mesti ada batasannya.

Zeti memaklumkan kepada mahkamah, beliau tetap dengan kenyataan yang tidak mengetahui mengenai SD itu dan Muhammad Shafee diminta hakim membangkitkan isu terbabit dalam hujahannya.

Sementara itu, pada awal sesi soal balas, Zeti memaklumkan suaminya menjalankan perniagaan pengurusan aset dengan akaun syarikat berpangkalan di Singapura.

Menurutnya, Tawfiq memaklumkan sudah membuat laporan kepada pihak berkuasa di Singapura mengenai transaksi meragukan berhubung sejumlah wang yang didepositkan ke akaun syarikat oleh satu pelabur.

Zeti berkata, suaminya menulis surat kepada institusi kewangan Singapura mengenai transaksi terbabit dan meminta pihak berkuasa memulangkan wang berkenaan kepada pelabur terbabit.

"Saya percaya, pihak pembelaan mempersoalkan mengenai wang berkenaan kerana ia sudah dipulangkan ke Malaysia," katanya.

Ditanya peguam sama ada beliau boleh mengemukakan surat berkenaan, Zeti berkata ia berada dalam simpanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang masih menjalankan siasatan.

Tiada ulasan: