‘Singkir saja mereka’, Muda pecah undi cetus marah warganet
Pengguna Twitter melepaskan kemarahan kepada parti itu kerana dianggap memecahkan undi dan membenarkan PN bertapak di DUN.
Amirul Aiman
PETALING JAYA: Warganet melepaskan kemarahan mereka di media sosial terhadap peranan Muda yang dikatakan memecahkan undi pada PRN semalam.
Seorang warganet menggunakan nama @bumilangit berkata: “Singkirkan saja Muda. Sombong, jahil, dan pecahkan undi, menyebabkan PN menang.”
Manakala seorang lagi warganet di Twitter @hermyrahim menyalahkan Muda atas kekalahan Pakatan Harapan (PH) menerusi calonnya Zawawi Mughni kepada Wan Dzahanurin Ahmad daripada Perikatan Nasional (PN).
Calon Muda Afriena Shaqira memperoleh 1,341 undi, tetapi kemenangan Wan Dzahanurin hanya dengan 167 undi.
“Sungai Kandis kalah dengan 167 undi, jika Muda tidak bertanding, kita akan menang,” katanya.
Seorang lagi warganet @faIqfahmie secara sinis mengucapkan tahniah kepada Muda kerana dianggap berperanan dalam memecahkan undi.
“Tahniah Muda kerana pecahkan undi. Itu sahaja fungsi anda,” katanya.
Manakala @Chairman_GLC nampaknya hilang sabar dengan parti itu.
“Saya berlembut dengan Muda selama ini. Tidak lagi,” katanya.
Malam tadi, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata parti itu mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kekalahan calonnya, yang semuanya hilang wang deposit.
Pertembungan kerusi antara PH dan Muda bukan perkara baru, dengan calon PKR dan Muda bertembung dalam PRN Johor pada 2022.
PKR, parti teras dalam PH, mengkritik Muda berhubung keputusannya bertanding di Larkin.
Pada Jun, Syed Saddiq menolak tanggapan parti itu akan menjejaskan peluang gabungan PH-BN menang.
Keputusan Muda bergerak solo pada PRN 12 Ogos menyaksikan parti itu mencabar pakatan PH-BN di beberapa kerusi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan