"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Yang di-Pertuan Besar NS dedah ada cubaan gugat kestabilan kerajaan pada penggal lepas

Ada pihak cuba gugat kestabilan kerajaan, titah Tuanku Muhriz
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bertitah tindakan itu dibuat tanpa sebarang sebab munasabah, sebaliknya hanya bermotifkan kepentingan peribadi.

Bernama

KUALA PILAH: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah terdapat pihak cuba menggugat kestabilan kerajaan pada penggal lepas tanpa sebarang sebab munasabah, sebaliknya hanya bermotifkan kepentingan peribadi.

“Sedarlah bahawa tindakan seperti ini tidak mendatangkan sebarang kebaikan, malah ia menyebabkan pentadbiran negeri terjejas dan rakyat menjadi mangsa.

“Beta mengingatkan semua wakil rakyat yang dipilih bahawa kamu diamanahkan oleh rakyat untuk menyuarakan segala permasalahan serta keperluan mereka dalam merangka dan melaksanakan sesuatu dasar atau keputusan.

“Justeru, fokus dan keutamaan kamu adalah kepada kepentingan dan perkhidmatan untuk rakyat negeri ini,” titah baginda.

Tuanku Muhriz bertitah demikian pada Istiadat Penyerahan Watikah, Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan kepada Adun Sikamat, Aminuddin Harun di Istana Besar Seri Menanti di sini, semalam.

Baginda turut mengucapkan tahniah kepada semua wakil dipilih rakyat untuk ke DUN dalam PRN Sabtu lalu.

Tuanku Muhriz menzahirkan kesyukuran kerana proses pilihan raya berjalan lancar tanpa kekacauan dan kekecohan serius.

“Beta menzahirkan ucapan terima kasih kepada bekas Adun dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri yang memberikan khidmat pada penggal lepas.

“Kepada calon tidak dipilih dalam pilihan raya kali ini, beta berharap kamu semua terus menabur bakti dan sumbangan kepada masyarakat.”

Baginda turut memuji kerajaan Negeri Sembilan menambah baik kualiti pengurusan dan pentadbiran, terutama dari sudut integriti serta kecekapan.

Keputusan PRN di Negeri Sembilan menyaksikan gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional membentuk kerajaan negeri selepas menguasai 31 kerusi, iaitu PH 17 kerusi dan BN 14 kerusi, manakala Perikatan Nasional memperoleh lima kerusi.

Tiada ulasan: