"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas Timbalan Pengarah Kanan DBKL, Sabudin dipenjara 4 tahun, denda RM1 juta

Suraya Roslan
surayaroslan@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Bekas Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Sabudin Mohd Salleh dijatuhi hukuman penjara empat tahun serta denda RM1 juta oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas dua pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM200,000 bagi mengeluarkan permit kerja.

Hakim K Muniandy membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen pada 15 September tahun lalu yang membebaskan Sabudin, 62, daripada kedua-dua pertuduhan rasuah itu di akhir kes pembelaan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak mulai hari ini serta denda RM1 juta bagi kedua-dua pertuduhan atau dipenjara empat tahun jika gagal membayar denda.

Bagaimanapun, Hakim Muniandy membenarkan permohonan peguam K Theivaendran mewakili Sabudin untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman dan sabitan terhadap anak guamnya sementara menunggu rayuan akhir di Mahkamah Rayuan.

Sabudin yang memakai sut berwarna kelabu dengan berkerusi roda kerana mengalami masalah sakit lutut kelihatan tenang sepanjang prosiding.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin yang dibantu Natrah Fareha Rahmat memohon supaya Sabudin dikenakan hukuman penjara antara lima dan 10 tahun serta denda RM1 juta, mengambil kira faktor kepentingan awam selain kesalahan itu serius kerana membabitkan kes rasuah.

Seorang lagi peguam mewakili Sabudin, Y Sheelan Samuagam bagaimanapun memohon supaya anak guamnya dipenjara sehari atas alasan dia menghidap osteoartritis pada bahagian kedua-dua lututnya dan sudah menjalani beberapa pembedahan besar selain memerlukan bantuan kerusi roda.

Pada 18 Disember 2020, Mahkamah Sesyen di sini membebaskan Sabudin daripada dua pertuduhan itu pada akhir kes pendakwaan.

Bagaimanapun, Sabudin diperintahkan membela diri atas kedua-dua pertuduhan itu selepas Mahkamah Tinggi pada 24 Mac 2022, membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Sabudin yang ketika itu timbalan pengarah kanan di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL didakwa memperoleh suapan iaitu wang tunai berjumlah RM200,000 daripada Wong May Kuan, subkontraktor kepada Dusari Niaga yang melaksanakan kerja-kerja penurapan semula jalan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi tahun 2018/2020 (2017/A214) sebagai upah mengeluarkan permit kerja kepada syarikat itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dalam kedai serbaneka di sebuah stesen minyak, Jalan Lingkaran Tengah 2, Bukit Antarabangsa di sini dan di hadapan kediamannya di Ukay Perdana, Ampang, masing-masing pada 9 Jun 2018 dan 17 Januari 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tiada ulasan: