"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Remaja bawah umur didakwa bunuh abang

BERNAMA

Kulim: Seorang remaja didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh abang kandungnya di rumah mereka di Taman Mahkota, di sini, minggu lalu.

Remaja berumur 17 tahun itu mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan kepadanya, namun tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Sri Pracha Nanthini Balabeda kerana pertuduhan membunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh abangnya berusia 21, dengan menikam tepat pada jantungnya di rumah mereka di Taman Mahkota, di sini kira-kira 10.10 pagi pada 7 Ogos lalu.

Mahkamah menetapkan 26 Sept untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, mahkamah yang sama menjatuhkan hukuman denda RM1,500 terhadap seorang lagi abang tertuduh berusia 26 tahun setelah mengaku bersalah membuat laporan palsu berhubung kejadian itu.

Lelaki itu didakwa membuat laporan bertulis yang diketahui sebagai palsu dengan menyatakan adiknya mati akibat terjatuh di kandang kambing di Balai Polis Kulim kira-kira 12.31 tengah hari pada 7 Ogos lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan kedua-dua kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohammad Syafiq Safiei manakala peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, K Kiren Ram mewakili kedua-dua tertuduh.

Tiada ulasan: