"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Cakap tak serupa bikin, akhirnya Pas buat juga – Syam Ghaz

HarapanDaily.com

AKMAL MANAF 

Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Mohd Hisyamuddin Ghazali hari ini menempelak Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkaitan debat dengan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau yang juga dikenal sebagai Syam Ghaz menyifatkan Syahir ‘cakap tidak serupa bikin’ dan turut melakukan perkara sama.

“Hari tu masa debat Syahir dengan Rafizi, Syahir kata mana boleh Perdana Menteri ke-10 (PMX) pegang jawatan PM dan Menteri Kewangan.

“Kiasan dia mudah, mana ada imam masjid jadi bendahari masjid.

“Kes Terengganu ini, bukan setakat imam masjid pegang bendahari masjid, tetapi imam masjid ‘tapau’ semua jawatan penting boleh buat duit di Terengganu?

“Menteri Besar Terengganu pegang lima porfolio iaitu Kewangan, Ekonomi, Pelaburan, Tanah dan Sumber Asli.

“Cakap tak serupa bikin, kononnya tata kelola baik. Akhirnya, Pas buat juga,” bidasnya menerusi satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Reaksi Syam Ghaz itu susulan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut memegang portfolio kewangan.

Malah, Samsuri yang juga ADUN Ru Rendang turut memegang portfolio Ekonomi, Pelaburan, Tanah dan Sumber Asli.

Mengulas lanjut, Syam Ghaz yang juga Naib Ketua AMANAH Rantau Panjang turut menyindir Syahir yang menjadi panel dalam program Sinar Live bertajuk ‘Ruh ruh ruh, neh neh neh’ semalam.

“Terkini, Syahir jawab apabila moderator Sinar Harian tanya, kenapa masa debat dengan Rafizi dia kata tatakelola tidak baik PM pegang Menteri Kewangan, tetapi di Terengganu boleh pula Menteri Besar pegang lima porfolio?

“Dia (Syahir) jawab sila baca Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu, Kerajaan Terengganu ada Pegawai Kewangan Negeri yang jaga semua urusan Kewangan Negeri.

“Syahir ini sebagai Ahli Parlimen Bachok, bekas Setiausaha Datuk Seri Hadi Awang tidak tahu Ketua Setiausaha Perbendaharaan Negara yang jaga semua Kewangan Negara?

“Tugas dan peranannya hampir sama dengan Pegawai Kewangan Negeri, cuma bidang kuasa dan tugas lebih kurang sama, skopnya sahaja lebih besar sebab jaga negara,” ujarnya.

Malah menurut Syam Ghaz, walaupun Datuk Seri Anwar memegang jawatan Menteri Kewangan, beliau hanya menjaga belanja mengurus dan tidak memcampuri perbelanjaan pembangunan.

“Belanja pembangunan diserahkan kepada Menteri Ekonomi, iaitu Rafizi Ramli. Belanja mengurus hanya membabitkan gaji, pentadbiran dan pengurusan negara,” katanya lagi.

Tiada ulasan: