Al-Abror Mohd Yusuf
"Done," kata seorang lelaki pertengahan baya sebagai kapsyen mengiringi dua tiga keping gambarnya di media sosial, "satu undi untuk Islam."
Dia seorang kakitangan sebuah agensi kerajaan negeri yang terlibat dalam pilihan raya negeri (PRN) kelmarin. Bahawa dia mungkin mampu bekerja dengan profesional sesuai dengan jawatannya adalah hakikat yang tidak disangkal.
Bahkan menjadi hak seseorang individu untuk percaya dan memilih mana-mana parti politik yang dirasakannya wajar diberi undi. Selagi ia mengikut lunas undang-undang, menjadi hak buatnya untuk memilih.
Pemilihan kerajaan melalui saluran demokrasi pada 12 Ogos lalu agak unik kerana menyanggahi kebiasaan dalam negara. Selalunya pemilihan ahli dewan undangan negeri (Adun) dibuat bersekali dengan pengundian orang ramai menghantar wakil mereka ke Dewan Rakyat.
Namun dinamika politik negara sejak beberapa tahun ini menyaksikan ada enam negeri tidak membubarkan dewan undangan negeri (DUN) masing-masing pada 10 Okt tahun lalu.
Setakat ini polemik mengenai keputusan dan kesan PRN berkenaan masih menghangat. Ketika ia baru berlalu kurang dari tiga hari - dan kelesuan rakyat melaluinya masih belum hilang - belum ada tanda yang jelas bahawa perbincangan akan berkurangan.
"Kan dah nampak macam mana orang Cina mengundi?" kata seorang wanita Melayu yang sejak puluhan tahun lalu kuat benar semangat kebangsaannya.
"Sekarang dah ada lingkaran Cina," tambahnya. Kemungkinan besar dia merujuk kepada pelbagai keputusan PRN di kawasan campuran Selangor dan Pulau Pinang.
Hal itu kerana di negeri-negeri lain secara umumnya PRN kelmarin menghasilkan keputusan yang dia suka. Justeru dia melihat keputusan di luar Kelantan, Terengganu dan Kedah sebagai natijah kepada "lingkaran" pengundi Cina.
Dan dengan selamba dia melupakan kewujudan "lingkaran Melayu".
Pedulilah lingkaran apa atau bagaimana sekali pun, ia sama sekali tidak sihat untuk membangunkan negara yang kita dakwa kita sayang ini.
Ia hanya akan menajamkan perseteruan, menebalkan kebencian, dan memarakkan rasa curiga berdasarkan kepada latar belakang kaum atau bangsa, dan agama. Sedangkan yang dicari-cari semua orang ialah keharmonian serta hubungan yang teduh sesama manusia.
Selepas PRN kelmarin berakhir, pihak yang menang meraikan kemenangan mereka dengan rasa cemas yang cuba disembunyikan, manakala yang kalah menjelma menjadi politikus yang hodoh serta kebudak-budakan.
Misalnya mereka membuat kenyataan yang memanaskan lagi pertelingkahan. Sesetengahnya pula mengeluarkan pandangan yang sengaja mengajak orang ramai terus gelisah memikirkan hari mendatang.
Lebih celaka, yang melakukan perbuatan itu adalah individu yang berada di atas sana. Mereka tidak akan terjejas apa-apa pun kalau orang ramai bergaduh, bermasam muka, terputus hubungan baik, atau seumpamanya.
Kerugian mereka hanyalah kerana terlepas kuasa yang lebih besar. Bukannya mereka tidak ada kuasa. Ada, tetapi apa yang sedang dinikmati itu belum memuaskan hati dan ghairah mahu ditambah-tambah lagi.
Lebih terkutuk usaha memuaskan nafsu itu dilakukan dengan menunggang agama dan bangsa.
Negara ini tidak memerlukan apa-apa lingkaran pun kecuali 'lingkaran' kasih sayang dan saling menghormati antara satu sama lain. Perbezaan pandangan mesti dilakukan secara terhormat dan bermaruah.
Dan di situlah juga kadang-kadang terletak masalahnya - maruah.
Kononnya demi agama, bangsa dan tanah air, maruah itu kadang-kadang 'boleh' diketepikan. Misalnya perbuatan rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan, pembohongan dan kejahatan lain boleh ditoleransikan kerana pelakunya adalah "orang kita."
Benar, di sana sini ada ramai Cina yang jahat tetapi Cina yang baik, budiman dan berakhlak terpuji juga lebih ramai. Samalah juga dengan Melayu, India atau apa bangsa sekali pun.
Realiti yang selalu kita lupakan ialah baik dan buruknya seseorang bukan disebabkan oleh bangsa atau kaumnya.
Kerana itu lingkaran bangsa apa pun bukanlah jawapan kepada kemelut yang sedang kita telan dengan amat pahit sekarang ini.
Agama juga sudah tentu menolak sebarang perbuatan khianat dan jahat. Agama menyarankan jalan damai. Ia mengajak semua manusia ke arah dataran yang terbaik. Biasanya tidak ada agama yang membuat seruan hanya kepada sesuatu bangsa secara khusus.
Kepada golongan yang melampau dan buta hati, kamu mungkin menganggap kamu sedang bekerja dengan limpahan rahmat tuhan. Tapi kamu sebenarnya mungkin tidak sedar bahawa keyakinan kerja buat yang kamu genggam itu menjahanamkan agama.
Agama - dalam konteks ini adalah Islam sesuai dengan keyakinan penulisnya - perlu dijelmakan dengan sebaik mungkin. Selain agar dihormati ia juga bertujuan untuk melembutkan jiwa individu lain yang sedang melihatnya dengan rasa curiga.
Justeru dengan berpolitik berdasarkan jalur kaum seperti yang diuar-uarkan sesetengah pihak sekarang tidak akan membantu apa-apa kecuali menambah kebencian.
Mereka lupa akan detik tuhan bertanya di akhirat nanti agaknya.
"Malam tadi kawan aku siap menjerit reformasi," kata seorang guru sekolah menengah di Perak. Mereka tidak mengundi pada Sabtu lalu, tapi di negeri jiran, sedang panas dengan kempen.
Mereka ke sana untuk merasai sendiri kehangatan PRN itu.
Lelaki yang menjeritkan reformasi itu pernah suatu ketika akan bingkas bangkit dan berlalu jika ada sesiapa bercerita tentang parti yang dibencinya. Sekarang parti yang dibenci itu adalah parti yang disenanginya.
Dipercayai bukan dia saja yang sedang bersikap begitu.
Ketika ada banyak jiwa yang sedang mengendur terhadap permusuhan siasah, orang politik yang keloloh pula terus gigih menajamkan perseteruan berdasarkan kepada bangsa atau kaum.
Sudah tentu ia akan mengingatkan kita semula kepada jahat dan terkutuknya ahli politik yang ada ini. Mereka adalah sekumpulan manusia yang perlu ditolak dan tidak boleh dipercayai lagi.
Kerjanya hanya mengajak orang ramai bergaduh. Ketika keadaan menjadi lebih tegang dan panas, mereka pun menyakau setiap peluang yang sekehendak hati.
Undi untuk Islam, konon....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan