Muhamad Lokman Khairi
am@hmetro.com.my
ANTARA Pati yang ditahan JIM Perak melalui serbuan di sekitar kawasan premis perniagaan dan kawasan perumahan di daerah Manjung, kelmarin. FOTO ihsan JIM
Manjung: Tindakan pendatang asing tanpa izin (Pati) cuba melarikan diri, memanjat bumbung, bersembunyi di sebalik pintu bilik serta merempuh anggota operasi yang membuat kepungan bagi mengelak daripada dicekup anggota Jabatan Imigresen Perak gagal apabila mereka berjaya diberkas.
Itu antara gelagat sebahagian Pati yang diperiksa dalam serbuan di premis perniagaan dan kawasan perumahan di daerah Manjung di sini, kelmarin.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Perak, Hapdzan Husaini berkata, operasi membabitkan 31 pegawai imigresen dari Bahagian Penguatkuasaan JIM Perak itu adalah hasil maklumat orang awam dan risikan.
Menurutnya, operasi dikenali sebagai Ops Sapu, Selera, Kutip dan Belanja itu dijalankan selama enam jam bermula jam 6.30 petang Jumaat dan berakhir pada jam 12.30 tengah malam Sabtu.
"Seramai 104 warga asing diperiksa. Daripada jumlah itu, 90 Pati berusia setahun hingga 50 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.
"Mereka yang ditahan terdiri daripada 14 lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki warga Pakistan, dua lelaki Nepal, seorang lelaki warga India, seorang wanita warga India, seorang wanita warga Indonesia dan 44 lelaki, 21 wanita, seorang kanak-kanak lelaki serta empat kanak-kanak perempuan warga Myanmar yang dipercayai melakukan kesalahan imigresen," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Hapdzan berkata, setibanya anggota operasi di lokasi tangkapan, serbuan dan pemeriksaan menyeluruh terhadap warga asing dilakukan.
"Ketika pemeriksaan, terdapat beberapa warga asing cuba melarikan diri, memanjat bumbung dan bersembunyi serta terdapat beberapa orang merempuh anggota operasi yang membuat kepungan.
"Namun dengan kecekapan dan komitmen yang diberikan oleh anggota operasi, cubaan itu dipatahkan," katanya.
Beliau berkata, kesemua warga asing ditangkap dan ditahan bagi tujuan siasatan.
"Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah melanggar Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan sah, Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa, Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat Pas Lawatan dengan bekerja secara tidak sah serta turut disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan juga di bawah Akta Pasport 1966.
"Siasatan akan diteruskan ke atas pemilik kediaman dan pemilik premis perniagaan yang membenarkan Pati berada di dalam premis mereka," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan