"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno ada banyak opsyen tapi tidak lakukan apa-apa bukan satu pilihan

Hishamuddin Aun 

Seorang panelis dalam analisis keputusan PRN enam negeri di sebuah stesen televisyen, mengajak audiens memerhatikan gelagat Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan timbalannya Zahid Hamidi ketika sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Pada pengamatannya, Anwar tidak menunjukkan sebarang ekspresi melainkan intonasi suaranya yang tiada keceriaan di samping tidak meluangkan banyak masa di Dewan Tun Hussein Onn PWTC sebelum bergegas pulang.

Percakapannya dalam sidang akhbar itu sekadar menyatakan apa yang perlu agar hormat dan menerima baik keputusan rakyat di sebalik kerajaan perpaduan pimpinannya masih mengekalkan status quo di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor.

Makna mudahnya ialah kerajaan perpaduan tidak gagal seperti yang mahu digambarkan oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin walaupun gabungannya sendiri hanya mengekalkan Kedah, Kelantan dan Terengganu untuk PRN kelmarin berkesudahan 3-3.

Gagal melebarkan sayap ke tiga negeri lain, terutama gagal merampas Selangor, kalau diikutkan Muhyiddin juga boleh dituntut untuk meletak jawatan tapi PN diketahui boleh mengalihkan pintu gol bila-bila masa mengikut sedap hati mereka.

Mungkin juga jaminan perdana menteri bahawa kerajaan perpaduan tidak tergugat dan akan terus bekerja lebih kuat dalam membangunkan Malaysia Madani seolah-olah dirasakan satu kelegaan oleh Zahid – dilihat akur dan semacam mengharapkan simpati – selaku pemimpin rakan kongsi terbesar dalam gabungan itu.

Keputusan PRN enam negeri gagal dijadikan pungutan suara untuk menolak kepemimpinan Anwar tetapi ia jelas menjadi penolakan besar-besaran pengundi Melayu terhadap Zahid dan Umno.

Tidak mungkinkah ia boleh jadi lebih buruk daripada ini?

Umno hanya menang 19 daripada 108 kerusi DUN – sekadar 17.6 % jumlah kerusi ditandinginya. Ini lebih rendah daripada pencapaian 26 daripada 120 kawasan ditandinginya dalam PRU15 November lalu.

Dalam PRN pada Sabtu, Umno hanya menang masing-masing dua kerusi di Selangor (Sungai Air Tawar dan Dusun Tua) dan Pulau Pinang (Bertam dan Sungai Acheh). Ketua Umno Selangor Megat Zulkarnain Omardin dikalahkan Hilman Idman daripada PN di Gombak Setia.

Umno hanya menang satu kerusi di Kelantan (Syahbuddin Hashim di Galas) manakala semua calonnya, termasuk bekas menteri besar Ahmad Said dan Ahmad Razif Abdul Rahman kalah di Terengganu – salah satu daripada tiga negeri yang pengerusi perhubungannya tewas.

Parti itu, bagaimanapun, menunjukkan prestasi baik di Negeri Sembilan dengan memenangi 14 daripada 17 kerusi ditandinginya, menyumbang kepada kemenangan majoriti dua pertiga dengan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Tetap Pemuda Umno Wan Agyl Wan Hassan merumuskan keputusan PRN itu menunjukkan Umno tidak lagi relevan kepada orang Melayu sambil bekas ketua Umno Terengganu Idris Jusoh turut mendesak Zahid berundur susulan prestasi buruk parti itu termasuk kalah di semua kerusi ditandingi di negeri itu.

Pendirian itu sependapat dengan penganalisis yang berpandangan Umno perlu menukar kepimpinan di peringkat atasan dengan Zahid berundur sebagai tonggak parti itu sehingga beliau dibebaskan daripada pertuduhan rasuah di mahkamah.

Ahmad Fauzi Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata kerajaan perpaduan berisiko kehilangan lebih banyak sokongan politik dan gagal meraih undi Melayu yang amat diperlukan kerajaan Anwar jika kepimpinan Umno tidak berubah.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berkata prestasi buruk Umno menunjukkan masalah besar dan lebih ramai pengundi Melayu beralih taat setia daripada parti itu, lebih-lebih lagi Umno bukan satu-satu wadah buat orang Melayu, dengan PN (PAS dan Bersatu) kini lebih ke depan.

Perubahan dalam Umno tidak boleh tunggu, sebaliknya mereka hendaklah melakukannya sekarang. Umno juga tidak boleh tunggu untuk orang lain ubah mereka kerana perubahan hendaklah dari dalaman dan ia harus bermula daripada Zahid selaku presiden, dibantu oleh majlis tertingginya.

Sesetengah ahli Umno mungkin melihat bekas ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin, sangat sinis dalam mengatakan Umno tidak akan melakukan apa-apa tapi di sebalik amarahnya terhadap Zahid kerana disingkirkan daripada parti selepas PRU15, dia belum dibuktikan silap dalam penilaiannya.

Setakat ini, Zahid dilihat tidak akan melepaskan jawatan untuk memikul tanggungjawab sepenuhnya atas prestasi buruk Umno. Kalau beliau hendak melakukan itu, beliau sudah pun melakukannya selepas PRU15 lalu lagi dan sebarang harapan untuk melihat beliau berbuat demikian pada pagi selepas PRN juga meleset.

Presiden Umno itu sebaliknya mengeluarkan kenyataan bahawa mandat rakyat kepada kerajaan perpaduan di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang telah menjadi asas kepada kebersamaan untuk terus bekerjasama dan memperkasa sinergi bagi mengekalkan kerajaan perpaduan untuk tempoh lima tahun akan datang.

Mari kita imbas balik apa yang dilakukan Umno selepas kalah teruk PRU15.

“PRU15, kalah! Tapi sibuk bentuk kerajaan, sibuk pemilihan, sibuk pertahan pendirian. Yakin alih undi. Tidak sempat fikir perlu ada ‘post mortem’.

“PRN 2023 kena humban. Umno sudah tidak relevan di ‘Malay belt’. Orang Melayu sekali lagi bagi ‘penampar’ pada Umno. Ramai yang masih sayangkan Umno. Saya masih sayangkan Umno. Cuma kasih dah sayang tidak cukup untuk perbaiki parti,” kata Wan Agyl.

Tidak melakukan apa-apa ketika itu kecuali menyingkirkan mereka yang lantang mempersalahkannya, Zahid boleh bermula dengan bersikap terbuka dan sedia mendengar apa saja pandangan demi kebaikan parti.

Bukan setakat mendengar apa saja yang beliau suka dengar tapi juga pandangan paling kritis sekalipun daripada mereka yang berada di luar Umno ketika ini.

Kedudukan Zahid-Mohamad Hasan mengekalkan kerusi nombor 1 dan 2 tanpa bertanding jelas melalaikan Umno daripada melakukan apa-apa ketika ketua-ketua bahagian dan perwakilan hanya tahu mengampu tanpa memikirkan kepentingan parti, yang jauh lebih besar.

Lantaran itu, pengajaran yang diterima Umno dalam PRN bukan pun mengejutkan dan ketua-ketua bahagian pro Zahid-Tok Mat harus turut sama bertanggungjawab dan bukan sekadar cuci tangan.

Umno masih mempunyai banyak opsyen ketika ini dan satu-satunya yang bukan pilihan ialah tidak melakukan apa-apa – seperti yang pedih untuk didengar daripada Khairy – hingga parti itu kini tertonjol sebagai boleh melakukan segala-galanya yang silap dan seolah-olah tidak melakukan satu apa pun yang betul.

“Dulu Umno abang long, sekarang abang ngah. Umno sekarang seperti MCA dulu yang diharapkan memenangkan undi Cina tapi gagal. PH harap kepada Umno untuk menangkan undi Melayu tapi juga gagal,” kata penganalisis, Wong Chin Huat.

Soalannya ialah apakah Umno, terutama kepemimpinannya, mahu mendengar?

Tiada ulasan: