"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

93% TOLAK IDEA KERAJAAN PERPADUAN


Keputusan Undian SMS 7 Edition menunjukkan 93% tidak bersetuju dengan idea penubuhan kerajaan perpaduan yang dicadangkan oleh presiden PAS, Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang.

Idea tersebut juga telah dibantah oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang jua Mus=rsyidul Am PAS yang menegaskan pendiriannya hari ini tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan kerajaan campuran PAS dan Barisan Nasional (BN).

Ini kerana, kata beliau, PAS pernah berada dalam kerajaan campuran BN sebelum mereka berpisah daripada kerajaan pakatan itu dan telah merasa sendiri pahit manis ketika bersama.

"Kami sudah cuba masuk dalam kerajaan campuran dulu tapi BN tidak hargai. Cubaan kami masuk dulu gagal, bukan gagal kerana kami, saya sudah perit (serik).

"Selagi saya tidak puas hati, saya rasa pahit untuk menerimanya (cadangan itu)," katanya.

Pendirian yang berbeza telah diambil oleh Dewan Pemuda PAS Pusat yang sebelum ini menyambut baik cadangan Datuk Seri Abdul Hadi berhubung pembentukan kerajaan campuran di negara ini dan menganggap cadangan itu dibuat pada masa yang tepat.

"Kerajaan campuran ini bukan bermaksud PAS atau pembangkang masuk BN, atau sebaliknya, tetapi pembangkang turut diberi ruang dalam pentadbiran bersama-sama menyelesaikan isu ekonomi dan konflik politik dalam negara," katanya kepada pemberita seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

Idea tersebut juga dicurigai oleh rakan-rakan lain di dalam Pakatan Rakyat dimana Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menuntut presiden PAS itu menerangkan maksud beliau mengenai kerajaan kepada Parti Keadilan Rakyat dan DAP, sekutu PAS dalam gabungan parti pembangkang.

Susulan cadangan Abdul Hadi itu juga, Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta PAS mengemukakan butiran jelas mengenai cadangan menubuhkan kerajaan campuran antara BN dan pakatan pembangkang di negara ini.

Muhyiddin berkata PAS perlu mengemukakan secara terperinci tentang bagaimana kerajaan campuran itu mahu dibentuk sebelum apa-apa pertemuan dapat dibuat.

Sebenarnya ini bukan kali pertama TG Abd Hadi mengutarakan idea kerajaan campurannya. Sebelum ini selepas Pakatan Rakyat memenangi pilihanraya umum ke 12, telah timbul satu kemelut dalaman PAS yang diakibatkan oleh idea pembentukan kerajaan campuran dimana dikatakan telah berlaku pertemuan beberapa pimpinan PAS dnegan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang tidak diketahui oleh para ahli PAS di peringkat akar-umbi sehinggalah ianya didedahkan oleh PM sendiri.

Ia telah menimbulkan konflik yang hebat di kalangan ahli PAS waktu itu sehingga ada ura-ura satu demonstrasi hendak diadakan di hadapan pejabat PAS Pusat bagi membantah cadangan kerajaan campuran tersebut.

Jika tidak kerana isu 
muzakarah yang bertukar kepada muqabalah itu telah dijelaskan oleh Mursyidul Am PAS sendiri sepastinya PAS telah dilanda ombak tsunami sebesar tsunami yang berlaku sewaktu PRU12 yng lalu.

Tiba-tiba muqabalah nak bertukar bukan sahaja kepada muzakarah semula, tapi kali ini lebih dasyat: nak turut diberi ruang dalam pentadbiran bersama-sama menyelesaikan isu ekonomi dan konflik politik negara. Sesuatu yang tak pernah dilakukan oleh Rasullullah semasa kerajaan Quraisy dipimpin oleh Abu Jahal dan Abu Lahab.

GB telah membuka isu ini untuk dibincangkan melalui siaran radio TKO.fm 10 malam tadi di dalam Rancangan Isu Semasa bersama GB dan rata-rata rakan-rakan tidak dapat menerima walau sebesar kuman idea kerajaan campuran ini.



Persoalan yang menjadi tandatanya kepada ahli kenapakah tiba-tiba gagasan kerajaan perpaduan atau apa juga namanya kini ditimbulkan semula setelah muktamar PAS yang lalu menyaksikan majoriti ahli telah menolaknya?

Mengapa tidak bersyukur dengan sedikit kemenangan yang dikurniakan Allah sehingga berlaku tamak serta tidak dapat bersabar untuk kemenangan yang lebih besar sehingga terpaksa mewujudkan satu sistem kerajaan perpaduan yang tidak ada di dalam sirah nabawiyyah?

Pilihanraya kecil Kuala Terengganu menyaksikan betapa ikhlas dan bersungguh-sungguh rakan-rakan dari DAP dan PKR membantu PAS mencapai kemenangan, mengapa pula kini hendak berlaku khianat kepada mereka dengan kita cuba mewujudkan satu suasana yang menimbulkan prasangka terhadap nilai perjuangan bersama di dalam menegakkan kebenaran dan keadilan dan menghapuskan kemungkaran dan kezaliman?

Idea kerajaan perpaduan pada dasarnya telah diakui TIDAK ada di dalam sirah nabawiyyah. Dari sudut teknikalnya pula ia tidak pernah dibincangkan secara bersama dengan ahli-ahli PAS di peringkat bawahan apatah lagi dengan rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat. Jadi dimana kekuatan untuk mendokong idea ini?

Telah dikatakan idea mewujudkan kerajaan perpaduan ini telah ditolak pada tahun lepas, mengapa perlu menghabiskan masa bertelingkah lagi dengan perkara yang sama untuk mempertajamkan lagi perselisehan di kalangan ahli yang telah bersatu hati?

Menteri Besar Kelantan sememangnya merasa pedih hati dengan cadangan tersebut kerana negeri Kelantan telah lama menjadi sasaran Kerajaan Pusat untuk ditumbangkan. Tetapi TANPA kerajaan campuran alhamdulillah, PAS Kelantan berjaya dikekalkan dan diselamatkan Allah sekalipun telah terpaksa mengharungi keperitan ditindas dan dizalimi sekian lama oleh kerajaan UMNO. Pemimpin negeri lain tidak akan dapat memahami dan merasainya.

Apakah kerana jawatan dan gaji lumayan yang pemimpin kita harapkan di dalam perjuangan dengan tidak bersyukur dengan pemberian Allah yang ada?

Yang sedihnya keceluparan berulang-ulang. Yang sedihnya kita sedang mengasah senjata untuk berpilihanraya kecil di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai tidak lama lagi, dan pemimpin kita menimbulkan isu yang merumitkan perpaduan dan kerjasama di dalam perjuangan Pakatan Rakyat. 

Jika di Perak kita meminta supaya pilihanraya diadakan semula, supaya kembali kepada rakyat untuk menentukan kerajaan manakah yang dikehendaki oleh rakyat, maka di dalam isu ini kita perlu kembali kepada muktamar dan merujuk kepada para ahli untuk menentukan apakah pandangan ahli akar umbi terhadap idea yang merosakkan ini

Umar menyatakan bahawa jika aku bersalah maka tegurlah aku, maka bangunlah seorang pemuda dengan pedangnya yang menyatakan, "jika Umar bersalah akan kutegur dengan pedangku ini".

Maka demikianlah akan ada pemuda yang bangkit menegur pemimpin yang ada pada hari ini akibat gagasan yang merosakkan dan menjahanamkan jemaah ini.

Ramai pembaca yang mungkin berada di muktamar ke-28 pada 23 Oktober 1982 dahulu di balai seminar Dewan Bahasa dan Pustaka, saya bersama rakan-rakan turut mejulangkan kepimpinan ulama dalam PAS. Pada muktamar tersebut kita memilih untuk menolak presiden parti waktu itu, Dato Asri Haji Muda hanya kerana beliau tidak mendengar suara ahli-ahli akar umbi dalam PAS. Kita berharap peristiwa demikian tidak akan berulang untuk melihat sekali lagi seorang Presiden diturunkan kerana gagal untuk mendengar suara ahlinya.

Yang nyata kini 93% telah pun menolak dan berdiri teguh di belakang Mursyidul Am PAS!  

Tiada ulasan: