"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kembalinya Mahathir, ruang demokrasi makin ketat

Roy Rasul   

KUALA LUMPUR, 6 April (Hrkh) - Gandingan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad bersama barisan kepimpinan baru Umno pasca pemilihan agungnya baru-baru ini memperlihatkan satu kepimpinan yang tidak akan memberi ruang kepada demokrasi, ujar Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Azmi Abdul Hamid.

Sebaliknya, mereka yang terpilih itu kebanyakannya terbabit dengan amalan politik wang dan amalan rasuah yang disahkan sebagai satu penyakit yang tidak boleh diubati dalam Umno.

Lantaran itu kata Azmi yang dihubungi berkata, gabungan antara Presiden Umno yang baru, Dato' Seri Najib Tun Razak dan Tun Mahathir itu tidak membawa apa-apa perubahan sebagaimana diharapkan rakyat.

"Saya berpendapat Mahathir tidak dapat menjaminkan kerjasama dengan Najib khasnya rasuah kerana banyak penyakit rasuah itu bermula di zaman dia," dakwanya.

Bagaimanapun katanya, apabila didapati dia (Mahathir) dapat menjatuhkan Dato' Seri Abdullah Badawi hanya memenuhi kehendaknya. Dakwanya lagi, yang Mahathir mahu, Najib mengikut telunjuknya bukan untuk membersihkan Umno daripada politik wang.

Di awal-awal lagi Najib mengatakan dia akan memberi tempat khas untuk Mahathir.

"Tetapi dalam masa sama dia mangatakan seolah mahu mendapatkan tunjukkan ajar daripada Mahathir. Jadi kita rasa khuatir kepimpinan Umno akan menggunakan cara yang tidak demokratik dalam menerajui kepimpinan kerajaan terutama apabila berhadapan dengan rakyat," katanya.

Katanya, keghairahan untuk terus kekal berkuasa itu akan menyebabkan mereka tidak akan membenarkan pemilihan rakyat.

Oleh sebab itu dakwanya, beliau tidak nampak Mahathir mahu kepada perpaduan diakar umbi Umno tetapi yang dikehendakinya pemimpin Umno mendengar cakapnya.

"Sebabnya kita dapati gaya kepimpinan Mahathir dulu pun tidak mahu sangat mendengar keluhan dan keresahan rakyat. Jadi saya tidak nampak penyertaan Mahathir akan mengukuh perpaduan Umno diperingkat akar umbi," katanya.

Melihat perkembangan tersebut katanya, pembangkang sepatutnya menunjukkan kemampuan yang lebih tinggi dan juga menunjukkan pemerintahan di lima buah negeri dengan lebih bersih dan telus.

"Ini adalah peluang pembangkang untuk mendapat keyakinan rakyat jika masih bergantung Umno negara ini mungkin akan hadapi masalah besar," katanya.

Tiada ulasan: