"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Geng Kapak’ mengganas di sekolah Pahang

PEKAN, 7 April: Sekumpulan empat pelajar lelaki yang menggelar diri mereka sebagai “Geng Kapak” dikatakan telah mencederakan seorang pelajar perempuan di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Mahmud Mat dekat sini semalam.

Norizan Janal A’bidi, 15, mendakwa kumpulan itu sering memukul dan mengugutnya dengan pisau untuk meminta wang daripadanya. Kejadian itu dikatakan berlaku sejak Februari lalu.

“Mereka selalu minta wang kepada saya iaitu sebanyak 50 sen hingga RM1. Memang saya tak pernah bagi dan sebab itulah mereka sering memukul saya.

“Petang semalam saya terpaksa menipu menyatakan saya berpuasa dan tidak mempunyai wang sehingga menyebabkan mereka menolak saya semasa menuruni tangga, melibas saya dengan kerusi dan menekan kepala saya ke atas meja “ katanya di rumahnya di Kampung Pulau Serai, Jalan Tanjung Selangor.

Norizan berkata dia telah memberitahu perkara tersebut kepada pengetua sekolah selepas peristiwa semalam dan hanya memberitahu ibunya dalam kejadian sebelum ini.

“Tetapi apabila pengetua masuk ke kelas untuk mencari mereka, keempat-empat mereka menghilangkan diri. Selepas pengetua keluar dari kelas, mereka secara tiba-tiba datang menyerang saya. Pelajar lain juga takut dengan mereka,” katanya.

Ibu mangsa, Jelimah Abdullah berkata beliau terkejut apabila melihat anaknya pulang dari sekolah dengan kesakitan.

“Apabila diperiksa, leher dan punggungnya bengkak,” katanya.

Ketua Polis Daerah Pekan, Supt Yahaya Othman ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan polis sedang menyiasat.

-Bernama-

Tiada ulasan: