Johari Jaafar
IPOH, 14 April: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak mencabar Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berdebat berhubung isu yang dibangkitkannya di Dewan Rakyat minggu lalu kononnya berlaku penjualan pasir kepada Singapura semasa Pakatan Rakyat memerintah.
Setiausahanya, Dr Raja Ahmad al-Hiss berkata, Tajuddin perlu menerima pelawaan berdebat yang dibangkitkan itu kononnya semasa pemerintahan negeri di bawah Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin terlibat dalam operasi menjual tanah dan pasir kepada Singapura dan tauke-tauke Cina.
Katanya, Pemuda PAS negeri bersedia menyediakan pentas untuk perdebatan tersebut di negeri ini atau pun semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor yang terdekat ini di sana.
Tambahnya, sudah tentu Nizar ditampilkan sebagai seorang lagi panelis yang dituduh oleh Tajuddin dan beliau boleh memilih tempat dan tarikh yang sesuai bagi membuktikan dakwaan tersebut manakala pengerusi boleh dijemput sesiapa yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
Menurutnya lagi, jika Tajuddin yang dianggap sebagai lelaki Melayu tulen Malaysia terakhir menolak, memang benarlah beliau seorang yang pembohong dan telah menipu Dewan Rakyat yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang Ahli Parlimen.
“Dan Pemuda PAS Perak berharap Tajuddin bukannya seorang yang penakut dan pengecut untuk berdepan jika beliau mempunyai bukti sepertimana yang didakwa.
“Jika benar dakwaan itu, beliau sepatutnya membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana ianya membabitkan isu keselamatan negara,” ujarnya.
Baginya, sangat menghairankan seorang yang bergelar Yang Berhormat tetapi sangat dangkal dalam membuat tindakan, hanya berani berkokok bersama imuniti sebagai Ahli Parlimen tetapi pengecut untuk berdepan dengan rakyat.
Beliau berkata, sekiranya Tajuddin merasa kecut untuk berdepan dengan Nizar, maka Pemuda PAS Perak sudi menggantikan tempatnya untuk berdebat isu itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan