KUALA LUMPUR, 14 April: Ringgit dijangka beransur-ansur meningkat kepada 3.05 bagi setiap dolar AS menjelang akhir tahun hadapan, seiring dengan pertumbuhan ekonomi yang bertambah baik, kata Kenanga Research.
Aliran meningkat ringgit berkemungkinan kekal teguh dengan China membayangkan kemungkinan melaksanakan semakan dasar bagi membolehkan yuan beransur-ansur mengukuh berbanding dolar AS.
Rizab Persekutuan AS juga membayangkan bahawa ia mungkin tidak akan menaikkan kadar faedah selepas 2010, kata firma penyelidikan itu dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Selain asas-asas makro dan kestabilan ekonomi global yang semakin baik, katanya, trend ringgit bagi jangka panjang akan banyak dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran, terutamanya reformasi mata wang yang mungkin dilaksanakan oleh China dan keputusan Rizab Persekutuan AS tentang kadar faedah.
Ringgit melonjak 14.4 peratus pada 2 Mac daripada paras terendah 3.7255 berbanding dolar AS tahun lepas, ketika pasaran kewangan global merudum, katanya.
Aliran meningkat ini agak sederhana berbanding pengukuhan rupiah Indonesia dan won Korea Selatan, masing-masing sebanyak 24.9 peratus dan 29.1 peratus dalam tempoh yang sama, dan ini membayangkan peningkatan selanjutnya bagi ringgit.
Selain itu, lebih banyak wang panas dijangka memasuki sistem kewangan, dan seterusnya mencetuskan lebih banyak permintaan bagi ringgit, katanya.
Bagaimanapun, ketidakpastian prospek ekonomi negara-negara maju, mungkin menjadikan arah aliran meningkat ringgit tidak begitu lancar.
“Dengan demikian, kami menjangka trend ringgit terus berubah-ubah, dan berlegar pada sekitar paras 3.15 hingga 3.30 dalam tiga hingga enam bulan akan datang,” tegas Kenanga Research.
Menurut Kenanga Research arah aliran meningkat yang berterusan dan mendadak mungkin memberikan kesan sebaliknya kepada ekonomi.
“Untuk menyokong pemulihan ekonomi yang belum begitu mantap, kami menjangkakan Bank Negara Malaysia mengehadkan kenaikan ringgit untuk membantu eksport mengekalkan daya saing bagi menyemarakkan proses pemulihan yang masih lemah itu,” katanya.
Tambahan pula, pengaliran modal yang besar ke dalam pasaran-pasaran baru berikutan itu, mungkin menyebabkan gelembung aset, kata firma penyelidikan itu.
Ini juga mungkin membayangkan bahawa sebarang kenaikan kadar faedah selanjutnya, adalah terhad.
Bagi menangani isu-isu ini, katanya, Bank Negara mungkin hanya menaikkan kadar dasar semalaman sebanyak 25 peratus lagi tahun ini.
Dengan pemulihan global dijangka semakin lemah dalam tempoh enam bulan kedua 2010 dan ditambah pula dengan ketidakpastian yang berlarutan, ringgit diunjurkan berada pada paras 3.27 bagi setiap dolar AS menjelang akhir tahun, kata Kenanga Research.
-Bernama-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan