"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isa Samad nikah Bibi selepas 5 tahun menduda

KUALA LUMPUR, 14 April: Bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad yang menduda sejak 2005 akan bernikah dengan bekas Setiausaha Puteri Umno, Bibi Sharliza Mohd. Khalid (gambar, kiri) di Kuala Pilah, hari ini.

Upacara pernikahan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dengan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paroi itu akan berlangsung di rumah keluarga pengantin perempuan di Gentam, Kuala Pilah pukul 3 petang.

Akhbar-akhbar tempatan melaporkan tentang pernikahan pasangan itu di muka depan hari ini.

Utusan Malaysia menyebut, Mohd. Isa, yang tahun lalu dipilih sebagai Adun Bagan Pinang dan dilihat kembali aktif dalam politik, mengesahkan mengenai pernikahan itu.

“Tak perlulah diperbesar-besarkan. Saya perlu jaga hati ahli keluarga saya, anak-anak saya dan juga keluarga perempuan,” kata Isa.

Pada masa sama, keluarga Bibi Sharliza juga tidak dapat dihubungi untuk memberi kenyataan, kata akhbar itu.

Berita Harian pula berkata majlis pernikahan akan diadakan secara tertutup dan hanya dihadiri saudara mara dan kenalan rapat.

Ketika bercakap kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Khas bersama ketua-ketua sayap cawangan Umno Bahagian Telok Kemang di Dewan Bagan Pinang semalam, Mohd. Isa berkata:

“Kalau saya kahwin saya akan jemput semua. Saya akan beritahu anda apabila tiba masanya nanti.”

Mohd. Isa, 60, dilahirkan pada 14 November 1949 di Sungai Udang, Melaka dan mempunyai empat anak hasil perkahwinan dengan Allahyarham Puan Sri Hazizah Tumin yang meninggal dunia pada 7 Dis 2005 akibat penyakit kanser.

Beliau memulakan karier politik pada tahun 1978 dengan memenangi kerusi DUN Linggi sebelum dilantik menjadi Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri sehinggalah pilihan raya pada 1982.

Di peringkat akar umbi, beliau menjadi Ketua Umno Bahagian Telok Kemang sejak 1978 sehingga sekarang.

Pada 11 Okt lalu, Mohd. Isa memenangi kerusi DUN Bagan Pinang selepas menewaskan calon PAS, Zukefly Mohamad Omar pada pilihan raya kecil di kawasan tersebut.

Sementara itu, Bibi Sharliza yang merupakan ibu tunggal dilahirkan pada 20 Nov 1970 dan memulakan karier politik sebagai Ketua Puteri Umno negeri dan Ketua Penerangan Puteri Umno dari tahun 2000 hingga 2003.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: