"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pakatan Rakyat Kumpul Tandatangani Bantah Lambakan Cabutan Judi Berlesen

KUALA LUMPUR 14 APR: Pakatan Rakyat akan mengumpulkan tanda tangan semua ahli parlimen tanpa mengambil kira fahaman politik bagi membantah jumlah hari cabutan khas atau ‘special draw’.

Memorandum itu akan dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai desakan kepada Perdana Menteri itu supaya mengawal cabutan judi itu.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke Siew Fook pada sidang dewan rakyat mempersoal tindakan kerajaan Umno BN yang menambah bilangan cabutan khas dipercayai bagi meningkatkan kadar kutipan cukai judi.

“Kita bersetuju semua ahli parlimen tanpa mengira parti menghantar satu memorandum kepada kepada Perdana Menteri mengenai isu perjudian. Kita akan minta semua ahli parlimen akan menandatanganinya kerana perjudian semakin banyak diluluskan,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, memorandum yang akan diserahkan kepada Najib mengandungi dua perkara pokok iaitu untuk membatalkan 20 kali cabutan khas bagi 2010 dan mendesak jumlah hari taruhan dikurangkan.

“Dua perkara itu menyeru Perdana Menteri supaya membatal semua cabutan khas yang berjumlah 20 kali untuk 2010. Yang kedua mengurangkan hari pertaruhan dari tiga kali seminggu kepada dua kali seminggu,” katanya.
-tvselangor-

Tiada ulasan: