Senator Tunku Abdul Aziz Ibrahim hari ini membidas pemimpin Umno kerana mengkritik setiausaha publisiti DAP, Tony Pua yang mencadangkan pemansuhan tujuh peratus diskaun bumiputera untuk pembelian hartanah mewah.
Pemuda Umno mendakwa cadangan Pua itu berbaur hasutan dan mencabuli perlembagaan persekutuan serta kontrak sosial. Sementara, Najib pula menuduh ahli parlimen Petaling Jaya Utara itu mencetuskan rasa tidak puas hati dan menimbulkan rasa marah di kalangan orang Melayu serta mengancam keamanan awam.
“Adalah jelas mereka yang digelar pemimpin Umno ini mempunyai fahaman sifar ataupun terhad, berhubung perlembagaan persekutuan kerana seboleh mungkin yang saya cuba, saya gagal mencari sebarang peruntukan dalam perlembagaan yang mengatakan bahawa Melayu atau bumiputera perlu diberikan hak untuk mendapat diskaun bagi membeli hartanah.
“Yang pasti, perlembagaan persekutuan tidak memperuntukkan bahawa Melayu berhak mendapatkan diskaun untuk membeli hartanah mewah yang bernilai jutaan ringgit,” kata Abdul Aziz.
Basmi kemiskinan?
Semasa sesi dialog belanjawan kerajaan negeri Selangor pada Julai lalu, Pua berkata diskaun bumiputera sepatutnya dihapuskan kerana ia langsung tidak berkaitan dengan usaha untuk membasmi kemiskinan di kalangan golongan itu.
Menurut Abdul Aziz jika diskaun tujuh peratus itu begitu 'kardinal' untuk menjamin hak istimewa Melayu, diskaun yang sama sepatutnya diperluaskan kepada orang Melayu untuk membeli barangan mewah lain seperti “BMW, Porches, sistem hi-fi rumah, tiket kelas pertama penerbangan dan malah juga barangan kemas serta batu permata.”
“Diskaun pembelian hartanah mewah adalah antara perkara utama yang disalah-gunakan di bawah Dasar Ekonomi Baru yang memerlukan pembaharuan bagi memastikan 40 peratus daripada bumiputera yang berpendapatan rendah mendapat manfaat daripada dasar afirmatif.
Disalah-guna Umnoputra
“Sehubungan itu, saya menyokong cadangan Menteri Besar Selangor (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) untuk menghapuskan diskaun berkenaan ke atas pembelian hartanah mewah tetapi menggunakan wang yang 'dijimatkan' itu bagi menubuhkan dana untuk membantu bumiputera yang miskin,” katanya.
“Reaksi Umno jelas menunjukkan bahawa mereka tiada kebanggaan sendiri atau harga diri, kerana mahu terus mempertahankan manfaat yang diputar-belitkan itu dengan membelakangkan nasib golongan miskin dan yang memerlukan.
“Melayu sebagai satu bangsa harus berbangga kerana ada di antara mereka yang kini mampu memiliki hartanah seumpama itu dan kita mesti bangga yang kita boleh berdiri di atas khaki sendiri meskipun menghadapi 'handicap' (rintangan).”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan