"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jual tanah: Tajuddin dicabar buat kenyataan luar dewan

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 13 April:
Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (PAS-Bukit Gantang) dan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) hari ini mencabar Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman yang menuduh mereka menjual tanah kepada Singapura agar turut membuat tuduhan yang sama di luar dewan agar tindakan boleh diambil terhadapnya.

Nizar dalam satu sidang media bersama Guan Eng di lobi Parlimen berkata, Ahli Parlimen Pasir Salak boleh membuat dakwaan itu di luar dewan jika benar-benar ada bukti mengenainya.

"Kami di sini seolah-olah dijadikan mangsa oleh ahli Parlimen Pasir Salak apabila sewaktu saya tiada di dewan baru-baru ini, Pasir Salak menuduh saya telah terlibat dalam operasi menjual tanah di Perak kepada Singapura.

"Kita mencabar Pasir Salak buat dakwaan yang sama di luar dewan maka kita akan mengambil tindakan supaya kita tunjukkan kebenaran,” ujarnya.

Tajuddin dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2009) 2010 di Dewan Rakyat baru-baru ini mendakwa Pakatan Rakyat (PR) diketuai Nizar sewaktu menjadi kerajaan negeri telah terlibat dalam operasi menjual tanah dan pasir kepada Singapura dan kepada tauke-tauke Cina di negeri itu.

Oleh kerana Nizar tiada dalam dewan ketika itu, wakil DAP dari Beruas, Ngeh Koo Ham dan wakil DAP dari Taiping, Nga Kor Ming bangun menafikan dakwaan itu.

Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang turut mencabar Tajuddin mengemukakan bukti mengenai dakwaannya itu kerana menurutnya, ia satu tuduhan yang serius.

"Saya juga dituduh bukan sahaja menjual tanah pasir kepada Singapura malah turut dituduh jual tanah kepada kaum Cina di Perak.

"Buktikan mana tanah yang saya jual kepada Singapura, mana dia tanah yang saya jual kepada tauke Cina. Sampai sekarang mereka tidak juga memberi bukti," katanya.

Justeru, beliau berkata, Ahli Parlimen PR ingin menuntut keadilan di atas tuduhan yang sangat dahsyat itu.

"Kami ahli-ahli Parlimen dari PAS, DAP dan PKR ingin menuntut keadilan supaya rakyat sedar kalau inilah mutu ahli Parlimen kita yang membuat tuduhan tanpa bukti, saya rasa ini satu malapetaka kepada rakyat Malaysia," tegasnya.

Sementara itu, Guan Eng yang dituduh menjual maklumat Malaysia kepada Singapura dan Hong Kong senada dengan Nizar mencabar Tajuddin membuat dakwaan sama di luar dewan untuk diambil tindakan.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut menafikan dakwaan itu.

"Memanglah perkara palsu saya ke Singapura dan Hong Kong untuk jual maklumat negara. Saya ke sana atas urusan perniagaan sahaja. Samalah seperti Perdana Menteri ke Singapura dan Hong Kong ke negara tersebut untuk tujuan pelaburan.

"Jadi saya cabar beliau buat tuduhan di luar dewan," katanya.

Beliau juga menyelar tindakan Tajuddin yang menggunakan imuniti sebagai ahli Parlimen untuk membuat tuduhan sewenang-wenangnya.

"Jangan berselindung dalam dewan, berselindung di atas kekebalan undang-undang yang dinikmati oleh ahli Parlimen untuk membuat sebarang tuduhan ," katanya.

Tiada ulasan: