"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pegawai Polis Wanita, Warga Emas Miliki Lebih 2,000 Jam Tangan Tiruan Ditahan

RANTAU PANJANG: Seorang pegawai kanan polis wanita dan seorang warga emas lelaki ditahan kerana disyaki bersubahat memiliki 2,159 jam tangan pelbagai jenama dipercayai tiruan, bernilai lebih RM100,000 dalam satu serbuan di Lorong Osman dekat sini, 2.45 petang tadi.

Penolong Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) 9, DSP Mohamad Latiff berkata pegawai polis itu ditahan ketika memarkir kereta di lorong berkenaan.

"Hasil maklumat awam, pihak kita mengadakan intipan dan mengikuti pergerakan kereta itu dan tingkah laku pemandunya itu yang seperti menimbulkan kecurigaan.

"Pihak kami kemudian melakukan serbuan ke atas kereta itu dan menahan pemandu wanita Melayu berusia dalam lingkungan 30-an serta penumpangnya seorang lelaki India dalam lingkungan 60-an," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan jawatan atau di mana pegawai polis wanita itu bertugas.

"Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu mendapati terdapat lapan beg berisi jam tangan yang dianggarkan setiap satunya bernilai antara RM15 sehingga RM150.

"Dianggarkan kesemua rampasan itu bernilai RM107,950 dan ia merupakan rampasan terbesar melibatkan jam tangan tiruan," katanya.

Mohamad berkata, jam tersebut dipercayai barangan seludup dari China ke Rantau Panjang melalui sempadan Thailand.

Beliau berkata barangan yang dirampas dihantar ke Jabatan Hal Ehwal Pengguna untuk tindakan lanjut.

Katanya, PGA9 turut bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk mengadakan operasi membanteras penyeludupan termasuk barangan tiruan ke negara ini dikenali sebagai "Gerak Gempur".
-Bernama-

Tiada ulasan: