"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tembok mural penjara Pudu akhirnya tumbang

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 22 Jun:
Penjara Pudu yang menjadi warisan sejarah negara dengan pelbagai catatan peristiwa penting tumbang malam tadi walaupun pelbagai kempen dibuat agar tembok muralnya dikekalkan.

Tembok yang berusia 115 tahun itu diruntuhkan dalam keadaan hon kereta dibunyikan bertalu-talu bagi menyokong kempen agar ianya dikekalkan.

Kerja merobohkannya bermula jam 10.10 malam tadi dengan disaksikan lebih 100 pemerhati yang ingin melihat dan mengambil gambar buat kali terakhir mural yang dianggap antara terbaik itu.

Robohnya tembok ini bersama dengan bersemadinya sejarah Mona Fendi yang pernah dipenjarakan sebelum dihukum gantung kerana membunuh mangsanya dengan mengerat 18 mangsanya itu.

Penjara Pudu juga pernah menjadi tempat Botak Chin, seorang perompak yang sangat terkenal di negara ini dipenjarakan.

Pergiinya penjara Pudu untuk pembangunan akan disusuli oleh Lapangan Terbang TUDM Sungai Besi dan yang terkini bangunan Parlimen sedang diura-urakan untuk dipindahkan bagi membolehkan tapaknya diambil alih oleh projek komersial.

Pelbagai pihak melahirkan kebimbangan kalau-kalau ianya dibuat semata-mata untuk menyedia satu projek mewah baru untuk pihak-pihak tertentu kerana ada projek bermakna ada yang bakal menjadi jutawan di samping tumpang senang oleh pihak-pihak yang terlibat dalam meluluskan projek ini.

Jika di Terengganu pelbagai masjid dan sekolah dibuat bukan kerana keperluan masjid dan sekolah tetapi untuk mebahagikan projek kepada kroni pihak yang berkuasa, ramai juga yang bimbang kalau-kalau unsur ini juga wujud untuk ketiga-tiga tapak warisan sejarah ini.

40 peratus tapak seluas 7.6 hektar Penjara Pudu akan dijadikan kawasan perumahan bertaraf tinggi manakala 60 peratus lagi akan dibangunkan dengan projek komersial oleh Uda Holding.

Di bawahnya pula akan dibuat jalan raya dan persimpangan bertingkat untuk mengurangkan kesesakan di Jalan Hang Tuah dan Jalan Pudu.

Tiada ulasan: