"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Betuah betul anak Nogori ini - Hebat..hebat!

Aspan Alias
Pemimpin de facto BN kini berada jauh dari sempadan negara kita. Beliau kini berada di Oman dalam siri lawatan mempertingkatkan hubungan dua hala negara kita dengan banyak negara didunia ini. Beliau baru sahaja kembali dari lawatan ke Saudi Arabia juga dengan niat dan sebab yang sama.

Dalam lawatan rasmi ini pemimpin de facto kita ini akan mengadakan perundingan yang meliputi perdagangan, perlancungan dan pendidikan awal bagi kanak-kanak.

Nampaknya ringanlah sedikit tugas-tugas Presiden UMNO kita dalam kesibukan membuat persedian menghadapi pilihanraya umum serta persediaan menghadapi pilihanraya negeri Sarawak dalam tempuh 4 atau lima bulan ini.

Kesibukan pemimpin de facto kita ini sangat jelas kelihatan kerana beliau baru sahaja kembali ke tanah air untuk menghadiri majlis resepsi pernikahan Tan Sri Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak dua malam yang lepas. Hebat..hebat.

Ini merupakan fenomena baru dalam politik dan kepimpinan kita. Disinilah perbezaan diantara PKR dan UMNO. Jika UMNO diketuai oleh Najib (suami) dan pemimpin difactonya DS Rosmah, PKR pula diketuai oleh Wan Azizah dan pemimpin de factonya ialah Anwar (suami). Ini merupakan perbezaan diantara UMNO dan parti serpihannya PKR. Lain-lain rasanya sama sahaja.

Sambutan rasmi besar-besaran diadakan untuk menunggu ‘keberangkatan’ DS Rosmah di Oman dan ini merupakan kali pertama Oman mengadakan sambutan yang sebegini besar dalam tempoh 20 tahun. Kita masih ingat kali terakhir menyambut pembesar negara kita oleh kerajaan Oman ialah semasa lawatan Tuanku Azlan Shah, Yang DiPertuan Agong ketika itu pada tahun 1991 dahulu. Sekarang padan muka kita semua.

Lazimnya perbelanjaan negara untuk menghantar rombongan rasmi seperti ini memakan belanja yang sangat besar; mencecah jutaan ringgit tetapi ini tidak menjadi perkara yang diambil peduli oleh kerajaan dan rakyat jelata. Negara kita kaya dan rakyat tidak ambil kisah jika perbelanjaan untuk isteri Perdana Menteri itu tinggi mana pun.

Kalaulah dijimatkan sedikit dari perbelanjaan kerajaan untuk menghantar rombongan DS Rosmah itu dapat jugalah diberikan kepada ibu bapa yang sedang sengsara mencari pembiayaan anak-anak mereka untuk melanjutkan pelajaran keperingkat yang lebih tinggi.

Kita merasa banyak keganjilan dengan tindakan isteri seorang PM yang diberikan sebegitu meluas publisiti oleh media masa kita. Mungkin ini merupakan pengalaman baru bagi kita kerana sebelum ini kita tidak pernah mengalam fenomena baru seperti ini.

Mungkin oleh kerana orang seperti saya ini adalah seorang anak kampong dan susah hendak menerima perkara-perkara ini berlaku dihadapan mata orang-orang seperti saya ini.

Kita cubalah untuk mengadaptasikan diri kita dengan keadaan yang baru kita alami ini. Lama kelamaan mungkin kita akan biasa dengannya. Lagi pun diakhir zaman ini tidak hairan lagi fenomena-fenomena terbalik seperti ini berlaku.

Hanya yang malang sedikit dalil-dalil dunia hendak kiamat ini dibawa oleh pembesar-pembesar negara kita. Kita mesti ingat, salah satu dari dalil jelas dunia akan kiamat ialah apabila wanita lebih berkuasa dari lelaki. Kalau ada pihak yang hendak menafikannya, silalah!

Betuah Romah ini. Elok kita calunkan beliau bertanding dalam pilihanraya yang akan datang ini. Ada dua kawasan yang kita boleh letakan beliau untuk bertanding PRU ke13 ini; pertamanya di Kuala Pilah, kampong halaman ibunya atau pun di Rembau, dikampong halaman bapanya. Kalau beliau menang PM boleh lantik beliau menjadi Menteri Luar negara.

Saya percaya berpusu-pusu pengundi-pengundi 'memangkah' beliau nanti.

Tiada ulasan: