"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isa Samad wajar tarik balik ucapan biadab

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 19 Jan: Tan Sri Isa Samad yang baru sahaja dinobatkan sebagai Pengerusi Felda yang baru kelihatan hilang waras apabila melemparkan kata-kata kesat kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai gila sewaktu berkempen di Tenang, Johor.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hasan At-Tantawi (gambar) berkata, apa yang diungkap Isa persis ucapan dan tindakan yang dilakukan oleh orang-orang jahiliah yang gagal menyangkal hujah Nabi s.a.w. ketika mengajak mereka beriman kepada Allah, Tuhan yang Maha Mencipta.

“Inilah sifat jahiliah sepanjang zaman, setelah gagal berhujah lalu mereka akan melemparkan sumpah seranah dan caci maki sekaligus menunjukkan betapa rendahnya keperibadian serta tahap berfikir,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Tambahan pula, katanya ucapan dan kata-kata kesat sedemikian dilemparkan oleh Isa dalam keadaan beliau berada di dalam satu majlis yang sangat jelek.

“Tanpa sedar diri yang sedang bergelumang dosa, lalu ia menuduh liar ke arah orang lain terutama insan seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang terkenal dengan ketinggian peribadi dan ilmunya,” katanya.

Justeru, tegasnya Isa Samad wajar menarik balik kata-kata yang celupar dan biadab andai berasa dirinya seorang pemimpin yang baik.

Jika tidak, katanya tentu sahaja rakyat bijak menilai terutamanya masyarakat Felda terhadap tahap keperibadian Isa yang dilihat tidak memaparkan nilai akhlak pemimpin yang bermoral dan terpuji, malah lebih kelihatan seperti gengster berdepan musuhnya.

“Dewan Pemuda PAS sangat kesal dengan pendekatan politik sedemikian, kelihatan seperti mereka sangat terdesak mendepani gelombang yang digerakkan oleh PAS dan rakan-rakan Pakatan Rakyat yang diperkaya pula dengan ketinggian budi dan akhlak pemimpinnya,” katanya.

Tiada ulasan: