Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my
Tumpat: Pertandingan akhir dikir barat sempena Festival Kesenian Rakyat Kelate (FKRK) 2023 di Pantai Geting di sini, malam tadi, dicemari insiden kekecohan membabitkan wakil pasukan terbabit.
Kejadian 11.30 malam tadi itu sebaik senarai pemenang diumumkan, sebelum beberapa wakil dari satu daripada empat pasukan yang bertanding mula membuat kecoh.
Kekecohan dipercayai berlaku apabila terdapat rasa tidak puas hati pasukan yang kalah terhadap keputusan yang diumumkan dengan mendakwa berlaku ketidakadilan serta campur tangan pihak luar.
Permulaan kekecohan yang hanya berlaku pertikaian dan perbalahan menjadi semakin panas apabila meja barisan juri diterbalikkan dan jawatankuasa keselamatan yang bertindak pantas berjaya meleraikan pergaduhan yang mungkin boleh tercetus bila-bila masa.
Wakil pasukan yang terbabit dibawa ke suatu ruang untuk ditenangkan sebelum satu pertemuan diadakan bersama penganjur serta pihak yang berkaitan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah ketika dihubungi berkata, tiada laporan polis dibuat berhubung insiden itu.
"Kekecohan yang berlaku tercetus dari salah faham sahaja dan ia diselesaikan dengan baik antara pihak yang berkaitan," katanya.
Pertandingan akhir dikir barat itu adalah antara acara kemuncak FKRK 2023 yang berlangsung selama tiga hari bermula 21 September hingga semalam.
Pertandingan itu membabitkan empat kumpulan iaitu Sirat Maharaja, Medan Kemulang, Lepah Jati dan Bentara Pujangga.
Disiarkan pada: September 24, 2023 @ 10:31am
Insiden kekecohan berlaku dipercayai apabila terdapat rasa tidak puas hati pasukan kalah yang diumumkan serta campur tangan pihak luar selepas acara penutup Festival Kesenian Rakyat Kelate (FKRK) di Pantai Geting, di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Tiada ulasan:
Catat Ulasan