"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tiada kenaikan gaji untuk penjawat awam malas, ada isu disiplin - PM

Malaysiakini 

Penjawat awam yang malas dan ada masalah disiplin akan dikecualikan daripada kenaikan gaji secara automatik, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata sistem gaji pada masa ini tidak adil kepada penjawat awam yang rajin memandangkan kenaikan turut diperolehi penjawat awam yang bermasalah.

Justeru, dia berkata kerajaan akan memperkenalkan kaedah agar penjawat awam bermasalah tidak mendapat kenaikan gaji secara automatik di masa akan datang.

"Sekarang (kenaikan gaji) ikut tahun. Kadang-kadang orang itu lembab bekerja, tak hadir (kerja) dan ada masalah disiplin tapi tetap dinaikkan gaji secara automatik.

"Jadi kita nak ingantkan bahawa ia (kenaikan) tidak automatik (lagi).

"Mungkin (kenaikan) automatik buat 95 peratus (penjawat awam yang berkhidmat dengan baik), tetapi empat, lima peratus - yang lembab dan ada masalah - kita akan perkenalkan kaedah agar mereka dinafikan (kenaikan itu).

"Tak adil orang yang kerja bertungkus-lumus dapat kenaikan, yang malas dan lembab pun dapat kenaikan automatik. Jadi (mekanisme itu) harus diberi pertimbangan," katanya ketika berucap di Program Madani Rakyat (Zon Utara) di Pulau Pinang.

Anwar berkata lagi, walaupun kerajaan setuju untuk memberikan kenaikan gaji paling besar dalam sejarah kepada penjawat awam, ia perlu selari dengan peningkatan kecekapan dalam perkhidmatan.

"Tak benar bila orang kata kita naikkan gaji dengan kekalkan kaedah yang ada.

"Kita naikkan gaji dengan reform perkhidmatan awam dari segi tahap kecekapan, keupayaan dan prestasi," katanya lagi.

Pada minggu lalu, Anwar mengumumkan gaji penjawat awam akan dinaikkan lebih 13 peratus bermula Disember tahun ini.

Kenaikan di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang diperincikan itu melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion tahun depan dan tertinggi dalam sejarah.

Tiada ulasan: