"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bagaimana amalan tafakur depan Tugu Negara

Subky Latif
KENYATAAN Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi tidak akan mengadakan acara tafakur di depan tugu dalam sambutan hari pahlawan adalah tindakan yang betul.

Sambutan kali ini tidak lagi diadakan di Tugu Negara tetapi dialih ke Putrajaya dengan cara yang berbeza.

Keputusan tidak bertafakur seminit di depan tugu telah difatwakan semasa pentadbiran Tun Hussein Onn dulu. Ia tidak boleh. Ia syirik.

Maka Perdana Menteri Hussein Onn menghormati fatwa itu. Tiada lagi tafakur di depan tugu, Malah kunjungan ketua negara asing ke Kuala Lumpur tidak lagi dibawa meletak kalung bunga di depan tugu, tunduk dan tabik kepada patung tugu itu atau apa-apa juga bentuk tugu.

Berkuat kuasalah peraturan itu selama pentadbirannya.

Apabila pentadbiran bertukar, maka di zaman pentadbiran Dr. Mahathir dia dikatakan mahu ketua-ketua negara asing yang datang ke Kuala Lumpur dibawa meletakkan kalung bunga dan menghormati tugu semula.

Tiada mudah membatalkan peraturan itu tanpa persetujuan Mufti Wilayah Persekutuan kerana ia bersangkutan dengan fatwa yang melarangnya.

Mufti ketika itu Tan Sri Abdul Kadir Talib dikatakan tidak bersedia tidak menguatkuasakan fatwa itu. Jika dia bersetuju, maka akan menyebabkan orang berdosa sama. Bukan dia saja yang berdosa. Habis orang Islam yang terlibat mengiring orang hendak bertafakur dan meletakkan kalungan bunga, orang yang menyusun program, dan sekalian orang yang menjayakan acara itu terlibat dalam dosa.

Dosanya pula bukan dosa kecil yang boleh taubat begitu saja. Dosa syirik adalah sebesar-besar dosa. Berzina, minum arak, membunuh dan merompak ada peluang bertaubat dan boleh terampun dosanya.

Tetapi dosa syirik tidak terampun. Kekal dalam neraka.

Tiada bersedia mufti menyetujui penangguhan tafakur dan meletak kalungan bunga di depan tugu. Kalau dia bersetuju, maka dia akan menanggung sama dosa orang-orang yang syirik kerana membesarkan tugu. Orang itu jadi syirik kerana kebenaran menyembah tugu itu dibenarkan oleh mufti.

Dosa mufti itu sudah cukup besar. Ditambah pula dengan dosa setiap orang syirik kerana mengikut persetujuan mufti, maka tidak diketahui di tingkat mana dia ditempatkan dalam neraka.

Justeru itu mufti tidak bersedia membatalkan larangan mengadap tugu.

Perintah supaya larangan itu dibatalkan adalah kehendak ketua kerajaan. Ketua kerajaan adalah tegas dalam kemahuannya. Maka tiada cara bagi mufti tidak mematahui arahan itu kecuali menamatkan perkhidmatannya.

Dan mufti itu dikatakan tidak disambung lagi khidmatnya ialah kerana tidak bersetuju dengan kemahuan kerajaan.

Tugas besar dan tugas pertama mufti baru logiknya ialah tidak membantah kemahuan kerajaan memulihkan acara tafakur di depan tugu dan mengadakan semula acara meletak kalungan bunga di depan tugu bagi setiap kuasa asing yang datang ke ibu kota.

Tidak dipastikan apakah mufti baru mengikut saja kemahuan kerajaan, bersetuju apa yang enggan disetujui oleh mufti sebelumnya atau persetujuan mufti tidak dikehendaki lagi. Memadai dengan membuat perintah, baik mufti setuju atau mufti tidak setuju tidak berbangkit lagi. Ia mesti dilaksanakan.

Yang terjadi sejak itu, tafakur di depan tugu sudah diadakan semula dan tiada lagi masalah bagi ketua negara asing yang datang, menghadiri acara meletakkan kalung bunga dan menghormat tugu menjadi acara tetap.

Tiada siapa lagi membangkitkan perkara itu dan tiada siapa mahu mengingatkan tentang larangan fatwa mengenainya. Hatta apabila pentadbiran yang memulihkan acara syirik itu digantikan oleh pentadbiran Islam Hadhari amalan itu tidak diberhentikan.

Hatta datang Dr. Zahid menjadi Menteri Pertahanan. Dia menyatakan tidak meneruskan amalan itu. Tetapi tidak dipastikan acara meletakkan kalungan bunga di depan tugu yang ketua negara asing dibatalkan sama.

Apa pun tindakan Dr. Zahid tentang kebertanggungjawabnya atas perkara yang melibatkan kementeriannya bolehlah dihormati.

Kalau Zahid diberi merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri tentang hal ehwal agama Islam, maka dia boleh mendapatkan persetujuan kabinet supaya ditiadakan semula meletakkan kalungan bunga oleh ketua negara asing yang datang ke sini.

Langkah Zahid itu dapat melepaskan dosa orang ramai yang terpaksa memikul kesilapan yang dibuat oleh kerajaan. Selagi larangan syirik itu tidak dihormati, maka rakyat tetap mendapat panggu dari kesalahan itu selagi masing-masing tidak bersuara bag menghentikannya.

Tiada ulasan: