"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Respon Terhadap Tulisan Blogger yang menyerang Kepimpinan YAB MB Kelantan

ahmadfadhli
1. Saya tertarik untuk memberikan respon terhadap beberapa siri tulisan salah seorang blogger kebelakangan ini. Di dalam tulisannya akhir-akhir ini, beliau mendedahkan beberapa dokumen secara terbuka di dalam blognya yang melibatkan urusan parti dan kerajaan.

2. Saya mencabar beliau supaya membuat laporan kepada pihak polis dan SPRM jika beliau meyakini terdapat penyelewengan dan salah guna kuasa di dalam pentadbiran kerajaan negeri Kelantan di bawah kepimpinan YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat selaku Menteri Besar semenjak tahun 1990.

3. YAB Menteri Besar seringkali membuka ruang pintu siasatan kepada SPRM sepanjang masa bagi membuktikan ketelusan pentadbiran dan kesediaan untuk disiasat jika terdapat mana-mana anggota pentadbiran yang terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa.

4. Hakikatnya, blogger tersebut tidak pernah dan tidak akan membuat laporan polis atau SPRM sekalipun begitu galak membuat pendedahan di dalam blog. Ini kerana semua pihak termasuk beliau tahu bahawa pendedahan yang dibuat tersebut tidak boleh ditagorikan sebagai penyelewengan dan salah guna kuasa.

5. Saya menyifatkan blogger ini sebagai ’seorang yang kecewa’ kerana tidak mendapat habuan yang diharapkan. Beliau membuat pengakuan bahawa beliau banyak membantu PAS di dalam pilihanraya sedangkan pengakuan tersebut langsung tidak disertakan dengan bukti dan fakta yang jelas. Saya penuh meyakini bahawa dakwaannya yang banyak membantu kempen PAS di Kelantan adalah merupakan satu pembohongan semata-mata. Hakikatnya, beliau lah yang mencari makan dengan kerajaan PAS selama ini.

6. Kemungkinan apa beliau lakukan hanyalah semata-mata untuk memperagakan kebolehan di dalam mecari maklumat agar dibeli dengan harga yang mahal oleh pihak yang lain.

AHMAD FADHLI BIN SHAARI
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.

Bertarikh : 12 April 2010 / 27 Rabiul Akhir 1431

Tiada ulasan: