"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Geng 5 dalang RM4 juta ?

Penulis blog, Kickdefella, semalam mengesahkan telah pun mendedahkan nama lima individu terlibat menyalurkan peruntukan RM4 juta kepadanya untuk operasi gerak saraf bagi mewujudkan persepsi buruk terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan mengekalkan pentadbiran Pas di negeri ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kickdefella atau sebenarnya, Syed Azidi Syed Abdul Aziz berkata, beliau berbuat demikian sewaktu memberikan kenyataan kepada suruhanjaya itu dua hari lalu.

Katanya, senarai ’Geng 5’ tersebut ialah seorang Exco Kerajaan Negeri Kelantan, seorang ahli majlis kepada sebuah kerajaan tempatan di negeri ini, pengarang sebuah akhbar propembangkang, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan dan pemimpin Dewan Pemuda Pas Kelantan.


Menurutnya, peruntukan itu disalurkan melalui syarikat perunding media, Global Media Channel Sdn Bhd (GMC) yang beribu pejabat di Jalan Kota Darul Naim dekat sini dan mula menjalankan operasinya pada Julai 2007.

Syed Azidi berkata, sumbangan terbanyak diperoleh daripada ahli majlis terbabit bermula Julai 2007 sehingga November 2008 yang dianggarkan berjumlah lebih kurang RM2.66 juta.

“Urus niaga ini dilakukan ahli majlis terbabit ini dan pemilik bangunan setelah ianya dipilih saya sendiri antara Mei sehingga Julai 2007.

“Jumlah yang sama juga diberikan peguam ini di antara Mac sehingga Mei 2008 untuk membayar hutang pilihan raya GMC. Kesemua wang ini dibayar kepada seorang pemilik syarikat percetakan,” katanya.

Menurutnya, daripada sumbangan itu, sebanyak RM1.2 juta digunakan untuk membeli sebuah bangunan empat tingkat yang dijadikan pusat operasi GMC.

Bangunan itu diletakkan di atas nama sebuah yayasan yang turut memuatkan sebuah studio kedap bunyi, pusat operasi media dan ICT serta ruang pejabat.

“Sejumlah RM160,000 diberikan secara tunai pada 17 September 2008 kepada salah seorang pengarah syarikat ini dan seorang individu ketika saya berada dalam tahanan polis untuk membayar kos operasi bulanan GMC dan Pas TV manakala baki RM100,000 diberikan kepada saya pada November 2008 untuk operasi GMC,” katanya.

Sebelum ini, Exco Kanan Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa menempelak Syed Azidi di blognya kerana mendakwa menerima wang sebanyak RM4 juta untuk menjalankan operasi gerak saraf bagi mewujudkan persepsi buruk terhadap kepimpinan Abdullah dan memastikan Pas menewaskan Barisan Nasional (BN) di Kelantan.

Namun, Syed Azidi mendakwa Husam mengetahui operasi yang dijalankan oleh syarikat terbabit.

Katanya, penyumbang kedua terbesar ialah dari bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan sebanyak RM1.28 juta yang dibuat melalui sebuah syarikat di antara Mei 2007 sehingga Januari tahun lalu.

Katanya, kesemua wang itu diserahkan di tiga tempat berasingan iaitu di pejabat GMC, kediaman Syed Azidi, di Demit, di sini dan tempat meletak kereta Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

“Untuk permulaan beliau menyerahkan sebanyak RM500,000 untuk pengubahsuaian dan pembelian perabot bagi GMC dan RM150,000 untuk pembelian peralatan ICT secara tunai tetapi berperingkat-peringkat di antara Mei 2007 sehingga Mac 2008.

“Baki RM630,000 lagi untuk operasi dan kerja-kerja GMC diberi secara tunai berperingkat-peringkat dari Disember 2007 hingga Januari 2009,” katanya.

Menurutnya, di antara Jun hingga Ogos 2007 beliau diserahkan wang sebanyak RM350,000 secara tunai dan cek untuk membeli peralatan penggambaran bagi kegunaan operasi GMC oleh seorang pengarang akhbar propembangkang namun tidak pula dinyatakan berapakah jumlah wang yang diterima daripada pimpinan Dewan Pemuda Pas negeri.

“Saya juga menerima wang daripada exco terbabit sebanyak RM40,000 secara tunai di tempat letak kereta hadapan pintu masuk orang kenamaan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra persediaan untuk persediaan mewujudkan GMC di antara Jun hingga Julai 2007,” katanya.

Bagaimanapun, kesemua lima nama terbabit gagal dihubungi semalam bagi mendapatkan penjelasan.

Menurutnya, SPRM juga dikatakan telah menyita sebuah telefon bimbit milik bekas Pegawai Perhubungan Awam Perbadanan Menteri Besar Kelantan itu kerana mempunyai beberapa pesanan khidmat ringkas (SMS) mengenai penyumbang serta arahan yang diberikan kepadanya.

Suruhanjaya itu juga dikatakan mengambil lima kamera dan beberapa peralatan lain yang dibiayai dari wang tersebut malah agensi itu dijangka akan menyita lebih banyak harta, aset dan dokumen serta akan menahan beberapa individu yang terlibat.

-SinarHarian-

1 ulasan:

shidi berkata...

Salam....
setelah membaca...tak nampak pun dimana salahnya...
kalau betul pun ada sumbangan tersebut...semuanya atas urusan membangunkan pusat operasi...ada ker unsur2 rasuah yg membolehkan SPRM masuk campur...
Oppppsss...lupa...salah sbb nak kenakan BEE END...