"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki terlibat 300 kes ragut ditahan

KUALA LUMPUR, 4 Mei: Seorang peragut kejam yang dipercayai mengakibatkan seorang mangsanya maut serta isterinya patah kaki pada penghujung tahun lepas akhirnya diberkas setelah lebih empat bulan menjadi buruan polis.

Lelaki berumur 22 tahun itu yang dipercayai terlibat dalam 300 kes ragut di sekitar Lembah Klang ditahan ketika sedang menunggu makanan yang dipesannya di sebuah restoran di Bandar Tun Razak, Cheras pada 25 April lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Supt Abdul Rahim Hamzah Osman berkata hasil maklumat orang awam dan risikan, lelaki yang tidak bekerja itu ditahan berseorangan di restoran berkenaan kira-kira pukul 8 malam.

“Daripada soal siasat yang dijalankan mendapati lelaki itu terlibat dalam kes ragut pada 7 Dis lepas, yang menyebabkan seorang lelaki maut manakala isterinya patah kaki apabila meragut rantai leher wanita itu yang sedang membonceng motosikal bersama suaminya,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Katanya hasil maklumat yang diperolehi, lelaki itu tidak berseorangan sebaliknya melakukan kegiatan ragut tersebut bersama seorang lagi rakannya yang berumur 20 tahun berasal dari Selayang.

“Kita telah perolehi maklumat seorang lagi suspek dan kita sedang memburulelaki yang juga tidak mempunyai pekerjaan itu bagi menyelesaikan kes ini dengan secepat mungkin,” katanya.

Abdul Rahim berkata modus operandi kedua-dua mereka ialah meragut mangsa yang menaiki motosikal dan tertumpu kepada wanita yang memakai rantai emas atau sedang menggalas beg tangan.

“Mereka melakukan kegiatan ini tanpa menggunakan sebarang senjata...cara mereka lakukan dengan pembonceng meragut dengan pantas ketika melalui sebelah mangsa,” katanya.

Lelaki itu katanya ditahan reman sehingga 8 Mei ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai suspek yang dikesan tampil membantu polis dengan berhubung terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di talian 03-9145222.

-Bernama-

Tiada ulasan: