Salmah Mat Husain
KOTA BHARU, 4 Mei: Pelajar-pelajar cemerlang di negeri ini sentiasa dihargai kerajaan negeri apabila mereka menerima insentif RM500 sebagai persediaan memasuki institusi pengajian tinggi.
Tahun ini merupakan kali ketiga sumbangan berkenaan yang disampaikan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Seramai 1,215 pelajar cemerlang peperiksaan 2009 menerima sumbangan tersebut membabitkan peruntukan sebanyak RM700,000 iaitu yang tertinggi setakat ini.
Pelajar cemerlang dalam peperiksaan SPM, STAM dan STPM menerima sumbangan berkenaan sejak 2008 yang membabitkan pelajar dari sekolah Yayasan Islam Kelantan (Yik), Jabatan Pelajaran Negeri, Mara dan calon persendirian.
Mulai tahun ini juga rakyat negeri ini yang belajar di luar turut mendapat sumbangan berkenaan yang diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik).
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, sumbangan terbabit diberikan sebagai penghargaan kepada pelajar cemerlang.
“Kerajaan negeri menghargai kecemerlangan pelajar kerana mereka bakal menjadi pemimpin pada masa akan datang,” katanya.
Hadir sama ibu bapa pelajar sehingga memenuhi ruang Dewan Besar Putik.
Menurutnya, sebelum ini sumbangan berkenaan hanya diberikan kepada pelajar yang belajar di negeri ini sahaja dan tidak membabitkan pelajar anak tempatan yang cemerlang di negeri lain.
Namun katanya, mengambil kira rungutan rakyat Kelantan yang belajar di luar menyebabkan kerajaan negeri menerima dengan terbuka pandangan mereka.
“Sebab itu peruntukan tahun ini lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya, misalnya tahun 2009 sebanyak RM400,000 melibatkan 950 pelajar,” ujarnya.
Beliau juga berkata, kerajaan Kelantan mengutamakan pendidikan Islam kerana ia dapat membantu membentuk akhlak masyarakat.
“Kerana itu setiap bulan sebanyak RM6 juta dibelanja kerajaan negeri untuk pengurusan dan pentadbiran Yik,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan