FMT Reporters
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat seorang pemimpin kanan di utara Semenanjung yang disyaki melantik beberapa syarikat mempunyai kepentingan dengannya membabitkan projek pembekalan dengan peruntukan kira-kira RM300,000.
Sumber berkata, pemimpin itu juga disyaki melantik beberapa syarikat bagi kerja baik pulih dan penyelenggaraan jalan membabitkan peruntukan Pejabat Menteri Besar kira-kira RM1 juta, di mana syarikat terbabit mempunyai kepentingan dengan anaknya.
Menurutnya, projek itu juga dipercayai dimonopoli anak pemimpin terbabit menggunakan beberapa lesen syarikat di bawah kawalannya.
“Kesalahan tersebut dipercayai dilakukan dari Januari 2023 hingga Mac 2024 dan syarikat tersebut turut disyaki mengemukakan dokumen mempunyai butiran matan palsu bagi kerja tersebut, selain diberikan komisen kira-kira 5% daripada nilai projek.”
Setakat ini, katanya, 15 syarikat dikenal pasti dikawal anak pemimpin itu dan antara kerja dilakukan membabitkan pembekalan air mineral, hamper dan cenderahati.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan siasatan sedang dijalankan berhubung perkara itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan