"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS punya 1,000 bukti berhubung rasuah Umno

 Intan Abdullah 
IPOH, 14 Mac (Hrkh)
 - PAS mempunyai lebih 1,000 bukti kes rasuah yang melibatkan dalaman Umno.

Naib Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa berkata pihaknya mempunyai senarai lengkap aduan ahli-ahli Umno kepada Jawatankuasa Disiplin parti tersebut.

"Kita mempunyai lebih 1,000 kes rasuah yang membabitkan orang dalam Umno dan kita juga mempunyai senarai lengkap aduan ahli-ahli Umno kepada Jawatankuasa Disiplin parti," katanya pada majlis Ijtima' Gerak Kerja Pilihan raya Kecil Parlimen Bukit Gantang di Bilik Gerakan PAS Kawasan Bukit Chempedak 9 Mac lalu.

Jelasnya, kesemua hal tersebut akan dimaklumkan dalam tempoh perjalanan menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang tidak lama lagi.

"Sebahagian daripada maklumat tersebut akan didedahkan dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang ini," katanya diiringi laungan takbir penggerak PAS yang hadir.

Beliau menyatakan bahawa Umno tidak layak untuk menjaga kepentingan rakyat dan negara ini selepas mengorbankan bangsa dan bahasa Melayu.

"Mereka tidak layak untuk menjaga bangsa, bahasa, agama dan negara ini.

"Kita hanya memerlukan Islam untuk menyelamatkan negara kita, bukan Umno," ujarnya yang hadir bersama ibu, isteri dan anak-anak.

Exco Kanan Kerajaan Negeri Kelantan itu menegaskan bahawa peristiwa dan kemelut yang melanda negeri yang terkenal dengan bijih timah itu merupakan cerminan kepada keadaan Umno yang terdesak.

"Peristiwa di Perak merupakan cerminan kepada terdesaknya Umno dan inilah imej mereka yang sebenar iaitu seperti lanun Somalia yang merompak kerajaan Pakatan Rakyat di Perak," tambahnya.

Menurutnya, dalam satu undian yang dijalankan sebuah rancangan televisyen, 97 peratus menyatakan bahawa sidang Dun di bawah pokok adalah sah dan tidak memalukan negara.

"Malah, berdasarkan satu kajian juga Ir Nizar dan kepimpinan PAS Perak muncul sebagai model pemimpin masa depan Malaysia serta disegani kawan dan lawan di seluruh dunia," ujarnya lagi.

Turut berucap pada majlis tersebut, Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohd Nizar Jamaludin, Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar, Pengarah Jabatan Pilihan raya PAS Perak, Asmuni Awi,

Hadir sama memeriahkan majlis, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang, Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh, AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, Ketua Pemuda PAS Perak, Norazli Musa dan Ketua Muslimat Perak, Ustazah Bariah.

Meskipun hujan turun dengan begitu lebat sehingga menyebabkan bekalan elektrik terputus, majlis tersebut tetap berjaya diteruskan dan diakhiri dengan majlis baiah petugas oleh Timbalan Ketua Ulama' Perak, Ustaz Mustafa Mohd dan bacaan doa. 


Tiada ulasan: