"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PPSMI: Perdana Menteri pun kena buli - Mahfuz

Abdul Aziz Mustafa 
KUALA LUMPUR, 13 Mac (Hrkh)
 - Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar tidak terperanjat beliau dicari oleh pihak polis kerana dipercayai terbabit dalam perarakan tanpa permit membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di Istana Negara, Sabtu lalu kerana "Perdana Menteri pun kena buli".

"Apa yang nak dihairankan, Perdana Menteri pun kena buli," kata beliau sambil merujuk laporan bertajuk "Bahasa Inggeris: Kajian dasar tidak akan dipercepat, tegas Hishammuddin" setelah disiarkan berita bertajuk "Bahasa Inggeris: PM mahu keputusan dibuat segera elak masalah besar".

"Bukan setakat (Ahli Parlimen Bukit Gelugor) Karpal (Singh) yang dibuli oleh Pemuda Umno apabila mereka menyerang beliau di bangunan Parlimen, Perdana Menteri pun dibuli oleh Ketua Pemuda Umno kalau kita baca laporan mengenai kenyataan (Datuk Seri) Hishammuddin (Tun Hussein) mengenai PPSMI.

"Kalau Perdana Menteri pun kena buli, apa nak dihairankan rakyat bawahan seperti saya dicari polis," kata Mahfuz.

Mahfuz seterusnya berkata, kalau Ketua Pemuda Umno sendiri begitu ketara tidak menghormati Perdana Menteri yang juga Presiden partinya sendiri, tidak ada sebab lagi rakyat patut menghormati Perdana Menteri dari Umno.

"Kita bercakap mengenai Perdana Menteri dari Umno, bukan (Datuk Seri) Abdullah Ahmad Badawi.

"Kalau (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) menjadi Perdana Menteri, beliau juga Perdana Menteri dari Umno dan tidak ada sebab lagi rakyat patut menghormati Perdana Menteri dari Umno kerana Ketua Pemuda Umno sendiri tidak menghormati Perdana Menteri dari partinya malah Presiden partinya," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Pihak polis Khamis lalu mengedarkan nama kesemua individu tersebut supaya mereka tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membantu siasatan dalam masa terdekat.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abdul Samad Mah berkata, kesemua mereka dipercayai melakukan kesalahan kerana perhimpunan dan perarakan PPSMI itu tidak mendapat permit dan dianggap melanggar undang-undang mengikut Seksyen 27, Akta Polis 1967.

"Kami harap individu terbabit boleh membantu kami dengan memberikan keterangan kepada pegawai kita seberapa segera," katanya.

Mereka adalah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Pengerusi Gerakan Mansuh PPSMI (GMP), Datuk Dr Hassan Ahmad; Timbalan Pengerusi GMP, Prof Dr Shaharir Mohd Zain; Setiausaha GMP, Hasni Abas; Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said; Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasaruddin Mat Isa; Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub; Mahfuz; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Ustaz Idris Ahmad; Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin; Ahli Akademik, Prof Abdullah Hasan; Ainon Mohd; penggiat teater, Shamsudin Othman (Dinsman); Suhaizan Kaiat; Mohamad Faizal Abd Aziz; Naib Ketua AMK, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dan Ketua AMK Bahagian Batu, Rozan Azen Mat Rasip. 

Tiada ulasan: