"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Eratkan kerjasama ekonomi serantau untuk atasi krisis dunia - Husam

Mohd Rashidi Hassan | rashidi@harakah.net.my 
SURAKARTA (SOLO), 13 Mac (Hrkh) -
 Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Dato' Husam Musa mencadangkan Malaysia dan Indonesia mempelopori kerjasama serantau, khususnya dalam bidang ekonomi bagi mengurangkan impak krisis ekonomi yang melanda dunia.

Beliau berkata, Malaysia dan Indonesia harus mengajak negara-negara di Asia Tenggara mempertingkatkan kerjasama serantau meningkatkan hubungan dagang sesama sendiri bagi mengelakkan penggantungan kepada kuasa ekonomi luar.

Dengan cara ini katanya, Malaysia dan Indonesia dapat mengurangkan tekanan daripada krisis ekonomi yang melanda dunia ketika ini.

Katanya, Asia Tenggara harus mencontohi rantau Eropah yang membentuk blok sendiri, khusus dalam kerjasama politik dan ekonomi.

Husam juga mencadangkan, kemungkinan suatu hari nanti perdagangan dua hala antara Malaysia-Indonesia boleh dibuat dengan menggunakan nilai dinar emas supaya tidak terkesan dengan turun naik nilai matawang.

Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kerajaan Negeri Kelantan bercakap demikian dalam pertemuan dan dialogdengan Perkumpulan Masyarakat Surakarta (PMS) hari ini.

ImagePMS adalah perkumpulan komuniti Cina di Solo yang diasaskan sejak 1932, yang bergiat dalam cergas dalam bidang ekonomi, agama, pendidikan, sukan dan kesenian.

PMS adalah gabungan enam kumpulan etnik Cina Surakarta, juga adalah sebuah badan kerjasama perniagaan yang diterajui masyarakat Cina yang menguasai perdagangan dan perniagaan di Solo dan Yogyajakarta.

Kedatangan Husam dan rombongan di ibu pejabat PMS disambut Wakil Ketua Umumnya, Wymbo Widjaksono (gambar)beserta 12 orang anggota badan pengurus PMS.

Dalam ucapannya kepada komuniti Cina di Surakarta, Husam memberitahu, di antara kejayaan utama Kerajaan Negeri Kelantan di bawah pimpinan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ialah pemerintahan yang adil kepada semua kaum.

"Katanya, Kelantan adalah bukti yang menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang adil kepada semua rakyat, tanpa mengira agama dan kaum," ujarnya.

Husam yang juga Naib Presiden PAS berkata, meningkatkan kerjasama dagang antara Malaysia dan Indonesia mesti menjadi agenda utama pemimpin kedua-dua negara.

Image"Meningkatkan kerjasama serantau, khususnya di antara Malaysia-Indonesia amat penting kerana kedua-dua negara berkongsi banyak elemen yang sama.

"Potensi untuk kita bekerjasama amat besar. Malaysia tidak harus melihat Indonesia hanya untuk pasaran tenaga kerja sahaja," ujarnya.

Husam berkata, dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, Indonesia sudah membuat perubahan besar dan maju dalam bidang politik, ekonomi, penerbitan serta lain-lain.

Katanya, Malaysia harus mengetepikan persepsi bahawa Indonesia masih lagi mundur dan kekurangan dari banyak bidang berbanding Malaysia.

Husam menegaskan, Indonesia mengamalkan konsep demokrasi yang jauh lebih baik daripada Malaysia, mempunyai teknologi yang canggih dalam bidang pertanian, penghasilan produk IKS yang besar dan perkembangan ilmu yang rancak.

"Rakyat Malaysia harus memecahkan minda dan banyak belajar daripada Indonesia dalam aspek-aspek yang saya nyatakan tadi," katanya.

Sebelum itu dalam ucapan aluannya, Wymbo Widjaksono, selain berterima kasih dengan kedatangan Husam, turut berharap agar kerjasama dipereratkan dalam bidang ekonomi, kesenian, sukan dan pelancongan.

Tiada ulasan: