"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemuda PAS bantah undi proksi

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 17 Jan: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) membantah cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) yang mahu mewujudkan sistem undi proksi.
Pengarah pilihan rayanya, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bahawa sistem undi proksi dibuat bagi membolehkan seseorang pemilih diwakili oleh mana-mana individu yang layak pada hari pengundian.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerai merasakan cadangan SPR untuk mewujudkan undi proksi itu tidak wajar dilaksanakan kerana ia mudah terdedah dengan pelbagai manipulasi dan penipuan.

“SPR tidak menjelaskan siapakah proksi yang layak dilantik bagi menggantikan pemilih yang tidak dapat hadir pada hari mengundi,” katanya kepada Harakahdaily.

Meskipun sistem itu dilaksanakan dengan kawalan ketat, pihaknya merasa sangsi bagaimana pengundi proksi mampu mengundi secara jujur bagi pihak pengundi sebenar.

Menurutnya, mereka tidak merasakan sentimen bahawa hak mereka sebagai pengundi perlu ditunaikan dengan penuh amanah kerana mereka hanyalah wakil bagi pihak pengundi sebenar.

Justeru, katanya mereka boleh mengundi calon lawan secara sesuka hati ataupun merosakkan undi pemilih sebenar yang tidak hadir.

“Selain itu, sistem ini boleh mewujudkan rasuah pilihanraya di mana pengundi sebenar boleh diugut atau dipujuk agar memberikan hak mereka kepada proksi,” katanya.

Tambahnya, tidak ada siapa yang boleh memberikan jaminan bahawa pengundi sebenar menyerahkan hak mereka kepada proksi tanpa apa-apa pujukan, tawaran, mahupun ugutan.

Jika undi proksi benar-benar diadakan, beliau berpendapat tidak ada faedahnya diadakan kempen pilihan raya apabila pemilih sebenar tidak turun mengundi, sebaliknya diserahkan kepada pengundi proksi yang tidak tahu latar belakang parti politik mereka.

Firdaus turut mengingatkan SPR agar menjayakan proses pilihan raya yang sedia ada dengan secara lebih telus dan adil di samping mencadangkan sistem yang baru dengan tidak memperbaiki sistem yang sedia ada tidak mampu mengembalikan keyakinan rakyat kepada sistem pilihanraya di Malaysia.

“Pakatan Rakyat telah lama mendesak agar sistem celup jari digunapakai bagi mengelakkan pengundi mengundi lebih dari sekali, membersihkan daftar pemilih, serta menghapuskan undi pos.

“Seharusnya SPR melihat dahulu kepada pelaksanaan sistem undi pos yang sangat dicurigai kerana berlaku ketempangan yang jelas dalam mana-mana pilihan raya,” ujarnya.

Beliau juga menegaskan agar SPR tidak masuk campur dalam pertempuran politik antara Pakatan Rakyat dengan BN.

Katanya, biarlah pilihan raya ke 13 akan datang berlangsung dengan suasana paling tenang dan aman.

“Janganlah kerana keadaan BN yang sedang nazak, SPR cuba untuk menyambung talian hayat mereka. Rakyat tidak akan sesekali boleh ditipu buat kesekian kalinya,” katanya.
*macam-macam cara nak tolong umno/bn - kerengga

Tiada ulasan: