"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Dipukul dan diseksa': Warga asing kongsi pengalaman ngeri di depoh imigresen

Malaysiakini 

Sehingga September lalu, seramai 1,467 kanak-kanak ditahan di 20 pusat tahanan imigresen di seluruh Malaysia, kata Human Rights Watch.

Dalam laporan yang dikeluarkan hari ini, pertubuhan hak asasi antarabangsa itu membentangkan akaun saksi mata yang mengerikan yang memperincikan kejadian seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dipukul kerana meminta lebih banyak roti.

Saksi, Ali, pelarian Rohingya yang berdaftar dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata, apabila dia cuba menghentikan serangan itu, dia sebaliknya diseksa.

Ali, 44, ditahan di dalam tangki air semalaman dan diserang jika dia cuba berdiri.

Human Rights Watch berkata, kanak-kanak di pusat tahanan itu, biasanya dikenali sebagai depoh, sering menghadapi penderaan yang sama seperti tahanan dewasa - termasuk penafian rawatan perubatan, makanan tidak mencukupi dan layanan buruk.

“Daripada jumlah keseluruhan kanak-kanak yang ditahan, dua pertiga daripada mereka tidak ditemani atau dipisahkan daripada keluarga mereka dan ada kalanya, dihantar pulang (ke negara asal) seorang diri,” kata Human Rights Watch.

Kerajaan telah mengakui kadar statistik kematian kanak-kanak yang membimbangkan dalam tahanan, memetik tujuh kematian dalam tahanan pada 2022.

Bagaimanapun, butiran khusus mengenai punca tidak didedahkan.

Kanak-kanak paling ramai jadi mangsa

Kanak-kanak dalam tahanan menderita kerana keadaan yang teruk, kekurangan nutrisi, pendidikan dan ruang.

Wanita telah bersalin di depoh dan kekal ditahan bersama bayi mereka yang baru lahir, tanpa penjagaan selepas bersalin atau keperluan seperti lampin dan susu formula, kata laporan itu.

Bekas tahanan yang ditemu bual oleh Human Rights Watch berkata bahawa sesetengah ibu dihukum kerana anak mereka menangis dan mendapati sukar untuk mendapatkan barang keperluan untuk bayi dan anak kecil mereka.

“Daripada membangunkan alternatif berasaskan komuniti, kerajaan melancarkan program Baitul Mahabbah pada penghujung 2023, memindahkan sejumlah kanak-kanak ke dua pusat sementara baru, di mana mereka akan kekal dalam kawalan sehingga dihantar pulang,” kata Human Rights Watch .

Memetik satu kes, seorang ibu kepada dua kanak-kanak perempuan warga Indonesia berusia 13 dan 16 tahun mendedahkan mereka semua menghidap kudis (sejenis penyakit kulit) semasa ditahan selama tiga tahun di depoh Menggatal di Kota Kinabalu.

Ogos lalu, kanak-kanak seawal usia lapan tahun adalah antara 425 pendatang tanpa izin yang ditangkap di bangunan pangsapuri di Cheras.

Disebabkan ketiadaan had undang-undang untuk tempoh tahanan imigresen, warga asing menghadapi risiko ditahan tanpa tempoh yang jelas.

“Penahanan imigresen oleh kerajaan Malaysia terhadap kanak-kanak adalah melanggar undang-undang antarabangsa secara terang-terangan dan menentang usaha global ke arah penghapusan sepenuhnya,” kata laporan itu.

Human Rights Watch kemudiannya menggesa kerajaan menghentikan segera penahanan pelarian, kanak-kanak, mangsa pemerdagangan dan pendatang yang terdedah atas sebab imigresen.

Senarai cadangan laporan itu juga menyeru Putrajaya untuk menggubal undang-undang untuk menghapuskan penahanan imigresen untuk kanak-kanak dan keluarga, tanpa mengira kewarganegaraan sambil mewujudkan proses pemeriksaan selamat untuk pengenalan dan pembebasan mereka.

Dalam pada itu, ia juga menggesa pihak berkuasa untuk mengelak memisahkan ahli keluarga sehingga penahanan keluarga tamat dan mengutamakan kepentingan terbaik kanak-kanak.

“Selain itu, langkah pencegahan perlu diambil untuk mengelak percampuran kanak-kanak yang ditahan dengan orang dewasa yang tidak berkaitan.

“Kanak-kanak juga harus diberikan pendidikan mengikut umur dalam tahanan sehingga alternatif dilaksanakan. Pendaftaran kelahiran dan dokumentasi untuk kanak-kanak yang dilahirkan di sini juga perlu dipastikan,” tambahnya.

Kerajaan juga digesa menarik balik reservasi kepada Konvensyen PBB mengenai Hak Kanak-kanak, khususnya Artikel 7, 28(1)(a), dan 37 berkaitan pendaftaran kelahiran, pendidikan dan penahanan kanak-kanak.

Untuk laporan terbarunya, Human Rights Watch menemu bual 43 bekas tahanan dari Myanmar, Indonesia, Syria dan Palestin antara Januari dan Mac tahun lalu.

Temu bual itu diadakan di Malaysia dan Indonesia dan penyelidikan telah dijalankan dengan bekas pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph, seorang perunding dengan Human Rights Watch.

Beberapa tahanan telah ditahan beberapa kali dan penahanan terbaru adalah dari 2019 hingga 2023, untuk tempoh antara tiga bulan dan tiga tahun.

Laporan kerajaan mendedahkan bahawa 45,000 pendatang tanpa izin telah ditahan sejak Mei 2020.

Laporan Human Rights Watch boleh dibaca melalui pautan ini.

Tiada ulasan: