"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemandu lori didakwa bunuh kekasih Thailand

Nora Mahpar
V Nathan didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam kerana membunuh wanita Thailand di sebuah kondominium di Setia Alam 28 Feb lalu.
SHAH ALAM: Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh teman wanita warga Thailand, minggu lalu.

V Nathan, 37, yang memakai kemeja-T hitam mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Mawika Lumyai, 32, di B-23-03 Trefoil @ Setia City, Jalan Setia Dagang AH U13/AH Setia Alam, pada 10.02 malam 28 Feb lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati, disebat tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farah Sofea Norazman manakala tertuduh diwakili T P Aravind.

Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 7 Jun untuk sebutan semula kes dan serahan laporan kimia.

Pada 28 Feb Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim, berkata pihaknya menahan seorang lelaki kerana disyaki membunuh kekasihnya dengan menolak mangsa sehingga jatuh dari tingkat 23 sebuah kondominium di Setia Alam.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati lelaki itu mempunyai tujuh rekod jenayah dan satu rekod dadah.

Tiada ulasan: