"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tipu berkait kontrak RM47 juta, CEO telco didakwa di Mahkamah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ketua pegawai eksekutif RD Comm & Network (M) Sdn Bhd mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan menipu berkait penganugerahan kontrak berjumlah RM47.25 juta, tiga tahun lalu.

Razain Hashim, 45, didakwa menipu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tertuduh didakwa menipu pegawai operasi syarikat pembinaan dengan menyakinkannya untuk mempercayai dia boleh menganugerahkan perkhidmatan kejuruteraan dan kontrak pemasangan ekakutub (monopole) Maxis.

Dia didakwa mendorong mangsa memindahkan RM150,000 dan RM100,000 ke akaun Maybank RD Comm & Network, di cawangan Maybank Taman Putra di Ampang, pada 29 April dan 3 Mei 2021.

Hakim Anita Harun menetapkan ikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin, selain membenarkan tertuduh membayar RM20,000 hari ini dan baki RM80,000 pada 11 Mac, termasuk memerintahkan Razain melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat setiap bulan.

Anita menetapkan 24 April bagi sebutan semula kes.

SPRM diwakili Aliff Shaharuzaman, manakala T Harpal Singh mewakili tertuduh.

Sebelum ini, waran tangkap dikeluarkan terhadap Razain selepas gagal hadir ke mahkamah pada 28 Feb.

Tiada ulasan: