"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kata penganalisis, Bersatu mungkin hilang 2 kerusi jika PRK

Nora Mahpar
Suhaili Abdul Rahman dan Syed Abu Hussin dikatakan berkemampuan mempertahankan Labuan dan Bukit Gantang sekiranya PRK diadakan.
PETALING JAYA: Dua daripada enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim dikatakan mampu mempertahankan kerusi masing-masing jika berlaku PRK, kata penganalisis politik.

Felo Majlis Profesor, Jeniri Amir, berkata Suhaili Abdul Rahman dan Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal masing-masing berpeluang mempertahankan Labuan dan Bukit Gantang berdasarkan rekod sebelum ini apabila bertanding di bawah parti berbeza.

Suhaili pernah menjadi Ahli Parlimen Labuan dari 1999 sehingga 2008 di bawah tiket Barisan Nasional. Pada PRU15, beliau kembali mewakili kawasan itu apabila menang di bawah lambang Perikatan Nasional (PN).

Syed Hussin pula menewaskan pemimpin PAS, Idris Ahmad, di Bukit Gantang pada PRU14 di bawah tiket BN, sebelum menyertai Bersatu dan menyumbang satu daripada 73 kerusi PN pada PRU15.

Jeniri percaya PN menang di Labuan dan Bukit Gantang pada PRU15 kerana “calonnya yang mengatasi populariti parti.”

“Susah kalau penyandang tidak ditentang calon lebih berpengaruh. Contoh di Labuan parti itu tiada jentera atau akar umbi pun,” katanya kepada FMT, sambil meletakkan peluang Bersatu lebih cerah di Jeli dan Gua Musang di Kelantan, Kuala Kangsar di Perak, dan Tanjong Karang di Selangor.

Zulkafperi Hanapi mewakili Tanjong Karang manakala Zahari Kechik di Jeli, Mohd Azizi Abu Naim di Gua Musang, dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid di Kuala Kangsar. Zahari dan Azizi bertanding di kerusi masing-masing atas lambang PAS.

Pandangan Jeniri ini sekiranya keenam-enam individu berkenaan perlu mengosongkan kerusi masing-masing rentetan pindaan perlembagaan Bersatu pada Sabtu lalu, yang menyatakan wakil rakyat yang menyokong pihak bertentangan dengan arahan atau pendirian parti akan terlucut keahlian secara automatik.

Difahamkan Bersatu akan menghantar surat kepada Ahli Parlimen berkenaan meminta penjelasan sama ada masih menyokong Anwar, selepas dan sekiranya pindaan itu diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berkata PRK boleh mengukur sejauh mana Pakatan Harapan menyokong Umno.

“Tak dinafikan semua itu kerusi tradisional Umno-BN kerana majoriti pengundi adalah Melayu, namun hakikatnya Umno dalam keadaan lemah dan PH perlu berkompromi.

“Ini peluang untuk PH tunjukkan sama ada mereka menyokong Umno atau tidak.”

Tiada ulasan: