"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hubungan antara kaum: Zaid bangkitkan 'kebenaran yang pahit'

RK Anand

Dikenali sebagai individu yang tidak takut bercakap soal sensitif, Zaid Ibrahim membangkitkan apa yang menurutnya sebagai "kebenaran yang pahit", di tengah hubungan antara kaum terus menjadi tumpuan berbanding hal-hal lain yang lebih penting.

Bekas menteri undang-undang itu mengulas satu lagi isu yang sering diperkatakan, dan kembali menjadi tumpuan minggu ini, iaitu sekolah vernakular menjadi penghalang kepada hubungan antara kaum, dan tanggapan kaum bukan Melayu enggan berasimilasi.

"Saya tak ingin buat pembezaan yang tak perlu - asimilasi atau integrasi. Apa yang saya tahu adalah rasa cinta pada asasnya adalah tidak bersyarat," katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, dia berkata ada satu perkara penting yang tidak dibincangkan, iaitu hak istimewa kepada bumiputera.

"Jika asimilasi berlaku, adakah orang melayu akan setuju untuk memansuhkan hak istimewa ini untuk mewujudkan padang yang sama rata?

"Atau orang bukan Melayu akan tetap dilayan seperti ‘children of a lesser God?’" soalnya.

Kesetiaan orang bukan Melayu

Bagi mereka yang menyamakan asimilasi dengan patriotisme dan mengkritik kesetiaan masyarakat bukan Melayu, Zaid membangkitkan satu lagi "kebenaran pahit".

"Orang bukan Melayu diberitahu untuk menjadi patriotik dan mencintai tanah air mereka. Namun sejak dari kecil, mereka dapati yang 'tanah air' tidak mencintai semua rakyatnya secara sama rata.

"Mereka dianggap dan dilayan lebih sebagai anak angkat yang tidak diingini. Mereka sering diingatkan sementara kewujudan mereka dalam 'keluarga Malaysia' diterima, mereka perlu sentiasa tahu tempat mereka.

"Jadi apa yang anda akan rasa?" soalnya.

Menyifatkan rasa cinta perlukan masa untuk bertumbuh dan perlu berbalas, Zaid berkata perasaan itu tidak seharusnya dipaksa.

"Jangan desak orang bukan Melayu untuk terus cintakan tanah air. Saya yakin mereka cintakannya.

"Ada yang tak tahu bagaimana untuk menunjukkannya. Ada yang rasa tiada guna tunjuk memandangkan dia tidak akan diterima sebagai seorang rakyat Malaysia dalam erti kata sebenar," katanya lagi.

Justeru, Zaid menasihatkan ahli politik agar tidak "membazirkan sel otak mereka" terhadap isu-isu ini, dan gunakannya untuk hal-hal yang lebih penting seperti keadaan ekonomi.

"Tidak guna mendabik dada berkenaan kaum dan agama di saat rakyat bergelut untuk menyara kehidupan.

"Memang orang Melayu yang paling susah namun ia bukan salah orang bukan Melayu.

"Jadi jika anda tidak boleh jadi sebahagian daripada penyelesaian, berhenti jadi sebahagian daripada masalah," katanya lagi.

Sekolah vernakular Cina sekali lagi diperkatakan selepas ahli parlimen DAP Teresa Kok menggesa pihak berkuasa menyiasat ahli akademik Teo Kok Seong atas dakwannya yang sekolah itu menyemai sikap perkauman.

Pada Januari lalu, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad juga mendakwa masyarakat Cina dan India tidak menganggap diri mereka sebagai rakyat Malaysia dan masih terikat dengan "negara asal mereka".

Tiada ulasan: