"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno, PAS, dan bak kut teh

Mohsin Abdullah

Wah bukan main marah Dr Akmal Saleh, ketua Pemuda Umno terhadap Tiong King Sing, menteri pelancongan, seni dan budaya sehingga mendesak Perdana Menteri Anwar Ibrahim memecatnya. Akmal is calling for Tiong’s blood, bak kata omputih. Ada beberapa sebab si ketua Pemuda Umno mahu si menteri dipecat antaranya kerana bak kut teh dimasukkan dalam senarai makanan warisan negara.

Sedang Umno berang dan marah, musuh politiknya PAS tampil dengan ‘chic’ kut teh (‘chic’ singkatan chicken yakni ayam ) dan kambing kut teh. Langkah PAS dan juga langkah Umno pada hemat saya berkaitan politik atau untuk mendapat sokongan demi kelangsunan politik masing-masing.

Bak kut teh menurut Wikipedia ialah sejenis hidangan sup beserta daging rusuk terutamanya babi yang dimasak dalam herba tradisi Cina yang berasal dari Klang. Asal dari Klang dipertikai Singapura yang mendakwa bak kut teh mereka yang cipta. Artikel ini tidak bercadang untuk bercakap mengenai pertikaian itu.

Yang tidak dipertikai semua pihak ialah hidangan itu berasas babi. Oleh itu Umno khususnya sayap Pemudanya melihat dirinya bertanggungjawab untuk membantah makanan yang haram buat umat Islam diberi pengiktirafan atau penghormatan sebagai warisan Malaysia, yang rakyatnya majoriti orang Melayu beragama Islam.

Sekali gus Umno menampilkan imej mempertahankan Islam serta konon peka dan prihatin akan perasaan orang Melayu. Tanpa mempersoalkan keikhlasan dan keislaman mereka ini, menurut saya satu usaha Umno mendapatkan kembali sokongan orang Melayu yang hilang sejak 2018 – sebenarnya sokongan terhakis sejak beberapa tahun terdahulu dan mencapai kemuncaknya pada PRU14.

Walaupun Umno duduk dalam kerajaan perpaduan yang meraikan kepelbagaian, ia tetap berperangai seperti dulu-dulu waktu mereka berkuasa selaku tulang belakang Barisan Nasional. Tingkah laku yang menyakitkan hati masyarakat bukan Melayu. Tidak perlu diimbau kembali apa yang dilakukan kerana kita semua maklum.

Apa pun tindakan membantah mewarisankan bak kut teh sehingga desak menteri dipecat akan membuatkan orang bukan Melayu kekal menjauhi Umno – sesuatu yang tidak bagus dalam konteks politik di mana sokongan semua bangsa dan agama diperlukan untuk memerintah negara.

Mungkin Umno walaupun sedar akan hakikat ini tidak ambil pusing kerana fokusnya ialah sokongan orang Melayu. Maklumlah pemerhati politik meletakkan Umno di belakang PAS dan Bersatu dalam soal penerimaan orang Melayu terhadap parti politik Melayu. Namun persoalannya ialah adakah dengan memperjuangkan isu bak kut teh dan isu senada dengannya orang Melayu akan kembali sokong Umno?

Apa yang Umno tidak mahu ialah sokongan orang bukan Melayu tak dapat, sokongan Melayu pun tak dapat.

Pada pandangan saya Umno mesti membersihkan imej yang tercalar. Menyatakan sokongan padu terhadap bekas presiden yang sudah didapati bersalah bersabit rasuah tidak membantu impian Umno. Ia mesti ambil kesempatan atau memanfaatkan kedudukannya dalam kerajaan untuk kebaikan rakyat, tak kira bangsa dan agama.

PAS dengan bak kut teh pula bagaimana? Chic kut teh dan kambing kut teh yang diperkenalkan ialah untuk menarik sokongan orang bukan Melayu yang perasaan mereka sudah dirobek PAS berulang kali.

Najihatussalehah Ahmad, ketua Muslimat PAS memberitahu NST pada 2 Mac lalu, semasa beliau memegang jawatan pengerusi majlis perpaduan kebangsaan PAS pada 2018 tugasnya ialah menjalin hubungan PAS dengan masyarakat bukan Islam menerusi pelbagai kaedah dan antaranya menyediakan kut teh mesra Muslim.

Ertinya PAS mahu menunjukkan ia inklusif, menghargai budaya bukan Islam, dan menyediakan jambatan menerusi makanan. PAS mahu buktikan ia boleh memperkenalkan makanan orang bukan Islam kepada umat Islam dengan menyediakannya cara Islam. Kesimpulannya mahu pancing undi.

Namun perlu diingat hidangan chic kut teh sudah disediakan sejak 2018 tetapi PAS masih tidak diterima sebilangan besar masyarakat bukan Islam. Jelas kut teh halal tidak cukup untuk pikat hati orang bukan Melayu.

Begitu juga dengan laungan pemimpin PAS bahawa patung Buddha terbesar di Asia terletak di Kelantan yang ditadbirnya (sebenarnya antara yang terbesar bukan yang paling besar) dan orang bukan Islam bebas menganut kepercayaan masing-masing di negeri yang diperintah PAS. Ini semua belum boleh menyakinkan orang bukan Islam.

Panglima perang PAS, Sanusi Nor, pernah dilapor berkata “nak takut apa dengan PAS? Pi tengok di Kedah mana ada satu orang Cina kita suruh potong…”. Penyokong PAS menyambut dengan gelak ketawa tetapi the non-Muslims did not find this funny at all. Masalah PAS pada pandangan saya ialah sebelah tangan mahu berbaik dengan orang bukan Islam, sebelah tangan lagi membelasah. Lihat sahaja kenyataan bercanggah presiden dan saf kepimpinannya.

Kesimpulannya banyak lagi yang mesti PAS lakukan untuk mendapatkan sokongan orang bukan Islam yang kekal takut akan mereka. Sama juga dengan Umno yang mahukan sokongan orang Melayu yang masih berpaling muka.

Oh ya apa nama kut teh mesra Muslim buatan PAS? Saya tak tahu. Kata bekas bos saya “PAS kut teh”. Beliau sekadar berseloroh. Jangan marah.

Tiada ulasan: